Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Projek East Coast Rail Link (ECRL) kini telah mencapai kadar siap keseluruhan 82.45% setakat April, jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Beliau menjelaskan, pemasangan landasan meliputi 400 km bagi laluan utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telah siap sepenuhnya dan setengah bulan lebih awal berbanding jadual asal, lapor The Star.

    “Untuk itu, pemasangan landasan bagi 100 km berikutnya dari Maran ke Bentong, Pahang akan dimulakan bulan ini dan dijangka selesai pada hujung Jun 2025,” ujarnya. Beliau menambah, pembinaan stesen ECRL juga berjalan dengan sewajarnya dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua 2026 nanti, untuk membolehkan fasa operasi percumaan projek ini dimulakan.

    “Selain itu, keseluruhannya ada 11 tren EMU enam-gerabak yang dikeluarkan oleh CRRC Dalian telah diperuntukkan untuk operasi ECRL, dan yang pertama dijangka akan tiba di negara ini pada hujung tahun ini nanti,” tambahnya.

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Tren EMU ini akan beroperasi pada kelajuan maksimum 160 km/j dan memerlukan masa hanya empat jam perjalanan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak sebaik sahaja servis komersialnya bermula pada Januari 2027. “Bersamaan dengan itu, projek ini juga memperuntukkan 12 set E-Loco daripada CRRC Dalian untuk pengangkutan kargo, dengan set pertama dijangka tiba hujung tahun ini,” tambahnya.

    Loke juga mengumumkan yang operasi ECRL telah dimulakan untuk meninjau aspek operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek ECRL ini. Penubuhan entiti baru ini adalah selari dengan rancangan kerajaan untuk memperkukuh sektor keretapi negara dengan memperluas perkhidmatannya dan mencipta peluang pekerjaan.

    Beliau menambah, sekitar 1,800 pekerja akan diperlukan sebaik sahaja fasa operasi ECRL bermula pada awal 2027 nanti. “Dengan operasi dijangka dimulakan tidak lama lagi, fasa O&M adalah sangat penting. Kita perlu pastikan yang projek ini dikendalikan oleh tenaga kerja tempatan yang tidak hanya berkemahiran tinggi, tetapi juga mahir dalam pengendalian keretapi moden,” ujarnya.

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Projek usahasama 50:50 antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction (CCCC) ini diumumkan pada 2016. Ia kemudiannya dibatalkan pada 2018 sebelum disambung semula tahun berikutnya dengan pertukaran jajaran yang terlibat.

    Laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.

     
     
  • 70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    Kita memang sering dikhabarkan dengan berita kemalangan jalan raya yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, malah saban tahun golongan ini menjadi penyumbang terbesar dalam insiden maut, meliputi 70% setahun dengan melibatkan 6,000 kematian.

    Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) menunjukkan bahawa walaupun jumlah kematian berkaitan motosikal adalah 12 kali lebih tinggi berbanding yang melibatkan kereta, namun hanya 13% daripada kes kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal, laporan The Star.

    Menurut koordinator VTAREC, Mas Tina Abdul Hamid, kajian yang dijalankan oleh pihaknya mendedahkan bahawa 67% kemalangan berpunca daripada kereta, manakala 20% disebabkan oleh kenderaan komersil. “Selalunya, penunggang motosikal yang dipersalahkan apabila terlibat dengan kemalangan, tetapi di sini kita telah mengetahui bahawa pemandu kereta yang perlukan kesedaran yang lebih tinggi tentang keselamatan jalan raya dan perlu dididik mengenai pemanduan defensif,” katanya.

    70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    Beliau berkata, kajian itu juga mendedahkan bahawa data mengenai kemalangan jalan raya dan kematian berada pada tahap membimbangkan. “Secara purata, seorang pemandu terbunuh setiap 80 minit. Kesilapan manusia adalah punca utama kemalangan jalan raya, menjadikannya sehingga lapan daripada 10 faktor yang menyebabkan kemalangan jalan raya. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya secara tahunan boleh memenuhi kubur yang mungkin memerlukan tapak seluas enam padang bola sepak,” katanya.

    Statistik mengenai kemalangan jalan raya adalah sebahagian daripada data yang didedahkan oleh VTAREC dalam taklimatnya yang diadakan sempena pelancaran kempen kesedaran awam VTAREC 2025 mengenai kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya. Dalam majlis yang sama, VTAREC turut mendedahkan model kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan tahun lalu iaitu Perodua Myvi menduduki senarai teratas, diikuti Proton Saga, Honda City dan motosikal Yamaha 135LC.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Sebelum ini, hanya Arteon yang didatangkan dalam penawaran Wolfsburg Edition oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia’s (VPCM) untuk pasaran tempatan. Kini, Tiguan Allspace juga mengikut jejak yang sama, dan akan dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, minggu ini.

    Dua varian ditawarkan bagi Tiguan Allspace Wolfsburg Edition ini, iaitu Elegance dan R-Line 4Motion — kedua-duanya hadir dengan harga pengenalan sebagai permulaan. Varian Elegance Wolfsburg Edition dijual dengan harga RM210,990 atau RM211,590 jika mengambil kira kos atas jalan dan belum termasuk insurans.

    Dengan harga ini, Elegance Wolfsburg Edition RM5,000 lebih mahal berbanding Elegance biasa, tetapi dengan harga pengenalan yang ditawarkan, harga jualannya diturunkan sebanyak RM30,000 menjadi RM180,990, atau RM181,590 atas jalan belum termasuk insurans.

    Bagi varian R-Line 4Motion Wolfsburg Edition, harga biasa ialah RM263,990 atau RM265,074 atas jalan belum termasuk insurans. Harga ini juga RM5,000 lebih mahal berbanding R-Line 4Motion standard. Namun, dengan harga pengenalan, ia diturunkan sebanyak RM20,000 menjadi RM243,990 atau RM245,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Dibandingkan dengan varian biasa Tiguan Allspace, Wolfsburg Edition ini lebih murah. Sebagai konteks, Elegance biasa dijual dengan harga RM205,990 atau RM206,590 atas jalan belum termasuk insurans, sementara untuk R-Line 4Motion dengan harga RM258,990 atau RM260,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Sama juga seperti Arteon Wolfsburg Edition dan Golf GTI Black Edition, Volkswagen Assurance Package (VAP) kini diperkemas untuk Tiguan Allspace Wolfsburg Edition. Ia kekal ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan lima-tahun, tetapi pakej selenggara telah dinaikkan menjadi tujuh tahun atau 105,000 km (yang mana dulu) daripada lima-tahun/75,000 km.

    Antara penambahbaikan yang dibuat untuk Wolfsburg Edition termasuklah lencana Wolfsburg di tiang B, dashcam Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 (UTR2.0) depan dan belakang, penutup tiub tayar Volkswagen serta kotak pemilik yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, sijil keaslian dan alas kaki Wolfsburg Edition.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pelindung bucu (termasuk untuk bampar depan), talam but polypropylene, ruang letak dan cangkuk yang ada di belakang kerusi depan serta pedal sport aluminium (Elegance sahaja).

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Selain perubahan tersebut, spesifikasi lain kekal sama seperti Tiguan Allspace Standard. Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear klac berkembar basah enam-kelajuan.

    R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

    Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telahpun memperkenalkan hot-hatch edisi terhad Volkswagen Golf GTI Black Edition untuk pasaran tempatan, dan model ini akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia Autoshow 2025 yang akan berlangsung minggu ini. Berbanding model standard, Black Edition ini menampilkan beberapa aksesori tambahan bersama beberapa perincian penggayaan dengan tema lebih ‘gelap’.

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM247,512 dengan pakej asas waranti selama dua-tahun. Sekiranya anda mahukan perlindungan lebih menyeluruh dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun serta pakej servis yang kini panjangkan sehingga tujuh-tahun, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,012.

    Oleh itu harga untuk Golf GTI Black Edition ini adalah RM6,000 lebih mahal dari Golf GTI Mk8 biasa. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM15,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Golf GTI Black Edition ini turun kepada RM 245,012.

    GTI Black Edition ini hadir hanya dengan dua warna badan iaitu Kings Red atau Deep Black. Kemudian cermin-cermin tingkap dilapisi filem penapis cahaya berwarna hitam (tetapi masih memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan), dan plat ‘Black’ ditampal pada perapi tiang-B.

    Imej gelap Golf GTI Black Edition ini turut ditambah menerusi kemasan hitam pada set rim “Richmond” 18-inci yang turut dihiasi penutup tengah “GTI” yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing, serta penutup injap angin juga dengan logo GTI.

    Manakala pada bahagian dalaman, Golf Black Edition ini menerima set karpet istimewa dan juga dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

    Satu lagi perincian yang diberikan pada Golf istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Golf Black Edition yang sah dari kilang.

     
     
  • Honda M’sia anjur promo Mei 2025 – rebat RM8k untuk CR-V, HR-V; diskaun untuk City RM6k, Civic FL RM5k

    Pejam celik pejam celik, kita dah nak masuk pertengahan tahun 2025. Cepat betul masa berlalu. Bagi yang ingin membeli kereta baharu, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk membuat keputusan. Untuk yang kepingin menjadi ‘Bangsa H’, Honda Malaysia (HM) sedang menganjurkan promosi ‘Mid Year Big Vibes’ sepanjang bulan ini. Maka, bolehlah anda memilih model mana yang sesuai dengan gaya hidup dan bajet anda.

    Untuk promosi kali ini, HM menawarkan rebat sehingga RM8,000 dan ia untuk stok buatan tahun 2025. Kesemua model pemasangan tempatan (CKD) termasuk dalam promosi ini, termasuk Civic facelift yang dilancarkan awal tahun ini.

    Bagi sedan City, ia diberikan diskaun bermula RM2,000 untuk model asas S, meningkat ke RM6,000 untuk varian E, V dan RS, manakala RS hybrid pula ditawarkan dengan potongan sebanyak RM4,000. Bagi City Hatchback pula, ia ditawarkan potongan sebanyak RM4,000 untuk kesemua varian kecuali RS hybrid yang diberikan diskaun RM2,500. Manakala WR-V pula menerima diskaun sebanyak RM4,000 untuk semua varian.

    Bagi HR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM8,000 bagi model asas S dan spesifikasi pertengahan pengecas turbo E, sementara V turbo pula menerima potongan RM5,000 dan RM6,000 untuk RS hybrid. Untuk abangnya, CR-V pula, diskaun RM8,000 untuk semua varian. Yang berkenan dengan Civic facelift pula, ia ditawarkan dengan rebat sebanyak RM5,000 untuk semua varian kecuali RS (yang ditawarkan dengan potongan sebanyak RM4,000).

    Kesemua diskaun yang ditawarkan ini adalah untuk kenderaan yang didaftar sekarang sehingga 31 Mei 2025. Anda boleh menyemak senarai penuh model Honda yang diberikan diskaun seperti di bawah.

    Honda M’sia anjur promo Mei 2025 – rebat RM8k untuk CR-V, HR-V; diskaun untuk City RM6k, Civic FL RM5k

     
     
  • Proton jual 12,692 unit pada April 2025 – eMas 7 masih EV terlaris di Malaysia, X50 terajui kembali segmennya

    Proton jual 12,692 unit pada April 2025 – eMas 7 masih EV terlaris di Malaysia, X50 terajui kembali segmennya

    Proton mengumumkan telah berjaya menjual sejumlah 12,692 unit kenderaan (termasuk eksport, smart dan eMas), menunjukkan peningkatan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 14.7% dan mewakili 20.8% perkongsian pasaran bagi bulan berkenaan, berdasarkan jangkaan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 60,886 unit.

    eMas 7 juga masih kekal sebagai EV paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 863 unit pada April (termasuk pasaran eksport) dan ini menjadikan jualan tahun sehingga kini (YTD) mencecah 2,716 unit. Proton berkata eMas 7 kini berada di tempat kedua untuk jualan EV keseluruhan walaupun pada masa ini hanya mempunyai satu model dalam rangkaiannya, sekaligus EV tersebut kini menyumbang 6% daripada keseluruhan jualan Proton.

    X50 juga telah berjaya kembali menerajui segmen SUV-B dengan terjual sebanyak 2,389 unit pada April yang merupakan jumlah tertingginya untuk 2025 setakat ini. Jualan YTD SUV ini telah meningkat kepada 7,506 unit, terbanyak dalam segmennya, serta 420 unit mendahului jualan YTD berbanding tahun 2024.

    Proton jual 12,692 unit pada April 2025 – eMas 7 masih EV terlaris di Malaysia, X50 terajui kembali segmennya

    Lain-lain model Proton yang turut mempamerkan prestasi jualan cemerlang termasuklah X90 yang kekal sebagai pilihan pertama untuk SUV segmen-D dengan 194 unit dijual pada April menjadikan jumlah YTD 873 unit. Diikuti dengan S70 yang kekal sebagai model sedan segmen-C yang dominan di Malaysia dengan 1,716 unit dijual pada April untuk meningkatkan jumlah YTD kepada 6,181 unit.

    Manakala X70 telah mencatatkan jualan sebanyak 2,839 YTD selepas 682 unit dijual pada April, dan pencapaian itu bermakna SUV segmen-C ini mencapai 44% lebih jualan YTD daripada jumlah YTD sehingga April tahun lepas. Untuk Saga pula, ia merekodkan 5,213 jualan untuk menjadikan jumlah YTD hampir 21,000 unit, Persona dengan 1,328 unit terjual dan Iriz mencatatkan 290 jualan untuk bulan April 2025.

    Bagi pasaran eksport pula, sebanyak 520 unit kenderaan Proton telah dieksport bulan lalu didahului oleh X50, Saga dan eMas 7, yang telah dipratonton di The Car Expo di Singapura hujung minggu lalu. Ini menandakan kembalinya jenama Proton ke negara itu setelah meninggalkan pasaran pada tahun 2012. Selain itu, X70 telah diperkenalkan di Bangladesh pada 30 April sebagai kenderaan pemasangan tempatan yang akan membantu meningkatkan jumlah jualan pada bulan akan datang.

     
     
  • Proton X70 di Bangladesh kini dijual dalam versi CKD, di pasang oleh Rancon Auto, harga lebih murah

    Proton X70 di Bangladesh kini dijual dalam versi CKD, di pasang oleh Rancon Auto, harga lebih murah

    Selepas hak pengedaran kenderaan jenama Proton diambil alih Rancon Cars dari PHP Automobiles pada pasaran Bangladesh, SUV segmen-C Proton X70 kini dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di sana menerusi fasiliti milik Rancon Auto Industries yang terletak di Bhawanipur, Kashimpur, Gazipur, di dalam Taman Perindustrian Rancon.

    Menurut laporan dari The Autodrive, The Business Standard dan The Daily Star, Proton X70 yang dibuat di Bangladesh ini dijual pada harga 3.85 juta taka (sekitar RM134k), atau lebih murah dari versi yang dibawa dari Tanjong Malim yang sebelum ini dijual pada harga antara Tk4.4 juta dan 4.8 juta (RM153k dan RM167k).

    Berdasarkan foto yang disiarkan oleh Rancon, Proton X70 CKD Bangladesh ini masih menggunakan facelift lama berbanding model pasaran Malaysia yang sudah pun diperkenalkan dengan facelift baharu pada bulan Ogos tahun lalu. Ia diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km, namun kini ditawarkan hanya dalam satu varian berbanding dua varian untuk versi CBU sebelum ini.

    Proton X70 di Bangladesh kini dijual dalam versi CKD, di pasang oleh Rancon Auto, harga lebih murah

    Varian tunggal berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan memacu roda hadapan, tanpa pilihan sistem pacuan semua roda.

    Antara kelengkapan lain yang diberikan pada Proton X70 CKD Bangladesh ini termasuk rim aloi 19-inci dengan tayar 225/50R19, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan yang boleh dipilih, skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen, servis terhubung (laporan cuaca dan striming muzik), sistem penghawa dingin dua zon, upholsteri kulit Nappa dan kamera 360-darjah.

    Untuk keselamatan, X70 ini datang dengan enam-beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang terdiri dari fungsi cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, pemantau titik buta, amaran keluar lorong dan kawalan menurun bukit.

     
     
  • PANDU UJI: Chery Super Hybrid (CSH) hanya guna satu tangki petrol untuk perjalanan cecah 1,400 km!

    PANDU UJI: Chery Super Hybrid (CSH) hanya guna satu tangki petrol untuk perjalanan cecah 1,400 km!

    Mungkin sebelum ini ada yang begitu percaya bahawa kenderaan elektrik penuh (EV) merupakan masa depan dan dunia bakal beralih sepenuhnya kepada teknologi tersebut dalam masa yang cepat. Hakikatnya perlaksanaan visi itu bukanlah mudah, kerana EV masih mempunyai banyak kekangan yang menyebabkan ia masih tidak praktikal digunakan buat masa sekarang.

    Kita boleh lihat sendiri bagaimana banyak pengeluar-pengeluar kenderaan dari Eropah kini sudah mula membuka semula divisi pembangunan enjin pembakaran dalaman masing-masing, yang sebelum ini ditutup kerana percaya peralihan kepada EV boleh dibuat mengikut apa yang dirancang.

    Dan untuk pengetahuan anda, walaupun industri EV kini diterajui oleh jenama-jenama dari China, pembuat-pembuat automotif dari negara berkenaan tidak pernah menamatkan pembangunan unit rangkaian kuasa dengan enjin pembakaran dalaman, khususnya dengan teknologi hibrid.

    Ini kerana walaupun kita disuap dengan gambaran bahawa kereta EV kini mengusai jalan raya di sana, serta dipasarkan dengan begitu agresif dengan mempunyai bilik-bilik pameran di pusat membeli-belah serta memenuhi ruang pameran di acara-acara Motor Show, hakikatnya jika anda ke bandar-bandar lebih kecil dari Beijing dan Shanghai, masih banyak lagi kereta dengan kuasa petrol menjadi pilihan rakyat di sana.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kejohanan ‘one make’ GR86 Cup kini di Malaysia – 3 pusingan, perlumbaan sokongan Super GT Jun ini

    Kejohanan ‘one make’ GR86 Cup kini di Malaysia – 3 pusingan, perlumbaan sokongan Super GT Jun ini

    Kalau anda rasa siri kejohanan one make Vios Challenge ‘kurang laju’, tak lama lagi ada satu lagi kejohanan serupa yang menggunakan jentera dari Toyota – ini dia Kejohanan ‘one make’ GR86 Cup secara rasmi sudahpun diumumkan untuk dianjurkan di Malaysia!

    Kejohanan ini bukan dianjurkan oleh UMW Toyota seperti Vios Challenge, tetapi dikelolakan oleh Haro Sports & Entertainment, iaitu pemegang hak dan promoter perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia yang bakal diadakan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula 26 hingga 28 Jun 2025.

    Jadi pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang pada 26 Jun nanti, dan ia akan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.

    Kejohanan ‘one make’ GR86 Cup kini di Malaysia – 3 pusingan, perlumbaan sokongan Super GT Jun ini

    Sama seperti kebanyakkan perlumbaan one-make yang memerlukan perserta membeli jentera lumba melalui penganjur, anda yang berminat untuk berlumba dalam GR86 Cup Malaysia ini perlu mendapatkan kereta lumba masing-masing menerusi Haro Sports & Entertainment.

    Untuk itu, Haro akan membawa 30-unit jentera lumba Toyota GR86 Cup Car Basic baharu dari Jepun dan dijual pada harga sedikit lebih rendah dari di bilik pameran iaitu RM208,315 lengkap dengan cukai jualan. Ini kerana kesemua jentera tersebut dibawa masuk menggunakan AP sukan permotoran (motorsport AP), di mana ia hanya boleh digunakan dalam perlumbaan sahaja, dan tidak sah untuk digunakan atas jalan raya.

    Jentera lumba Toyota GR86 Cup Car Basic ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model jalan raya biasa, menggandingkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm, bersama kotak gear enam-kelajuan manual bagi memacu roda belakang.

    Namun ia menerima beberapa sentuhan prestasi seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD.

    Untuk perlumbaan di Malaysia ini rim besi asal GR86 Cup Basic tersebut akan digantikan dengan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.

    Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.

    Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.

    Secara keseluruhan berat kereta lumba Toyota GR 86 Cup Car ini ditimbang sekitar 1,290 kg. Spesifikasi pada kereta lumba ini juga telah memenuhi undang-undang kelas SP1 dalam siri perlumbaan Malaysia Championship Series 2025, membolehkan ia menyertai banyak lagi perlumbaan tempatan selain GR 86 Cup.

    “Direka sebagai siri perlumbaan yang sangat kompetitif namun masih mampu milik, Siri GR86 Cup Malaysia ini menyediakan platform kepada peminat untuk berlumba dengan jentera lebih berkuasa dan dinamik tetapi masih mengekalkan kepentingan kemampuan prestasi yang sama di mana kelebihan akan terletak lebih pada kemahiran pemanduan sebenar,” kata rakan kongsi pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan.

     
     
  • Polis berkas Geng Along Jep – curi kenderaan lama untuk kegunaan sendiri, alat ganti sekitar Klang

    Polis berkas Geng Along Jep – curi kenderaan lama untuk kegunaan sendiri, alat ganti sekitar Klang

    Polis memberkas empat lelaki berusia 25 ke 40 tahun daripada ahli Geng Along Jep, yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan sekitar daerah Klang Selatan antara 10-30 April lepas – lapor Bernama.

    Menurut timbalan ketua polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan, suspek aktif sejak hujung tahun lepas dan ditangkap secara berasingan melalui Op Lejang. Selain Klang Selatan, mereka juga didapati aktif melakukan pencurian kenderaan di Klang Utara, Shah Alam dan Kuala Selangor.

    “Turut ditemui bersama suspek adalah enam buah kereta termasuk satu rangka dan enam motosikal berserta satu rangka. Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 30 rekod jenayah lampau diikuti 22 kes berkaitan dadah,” kata Zaini.

    Polis berkas Geng Along Jep – curi kenderaan lama untuk kegunaan sendiri, alat ganti sekitar Klang

    Kereta yang disasarkan oleh suspek kebanyakannya adalah kereta lama jenama tempatan seperti Perodua Kancil, Proton Iswara dan Proton Iriz, sementara motosikal pula seperti Honda EX5 dan Proton Iriz. Siasatan mendapati, mereka tidak menjual kenderaan curi tersebut dan ia disimpan untuk kegunaan sendiri dengan nombor pendaftaran yang ditukar dan mendapatkan alat ganti melalui kenderaan curi lain.

    “Melalui tangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan sembilan kes curi kereta di kawasan Klang Selatan dan daerah berdekatan,” tambah Zaini sambil memberitahu kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

     
     
  • Jaecoo Malaysia perkenal Program Affiliate Profesional untuk pekerja, ahli badan profesional

    Jaecoo Malaysia perkenal Program Affiliate Profesional untuk pekerja, ahli badan profesional

    Jaeoo Malaysia memperkenalkan Program Affiliate Profesional (PAP) yang mensasarkan ‘ahli badan profesional dan pekerja syarikat berdaftar’. Manfaat yang diberi adalah mudah, iaitu diskaun dan kelayakannya adalah lebih luas berbanding apa yang digambarkan melalui namanya.

    “Atas maklum balas positif dan permintaan yang diterima daripada pihak korporat dan profesional, Jaecoo Malaysia dengan suka citanya memperkenalkan Program Affiliate Profesional. Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk menaikkan lagi jenama dan mendekati peminat serta pelanggan,” kata timbalan presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Buat masa ini, diskaun diberikan untuk model Jaecoo J7 AWD, 2WD dan PHEV. PAP terbuka untuk semua individu yang menjadi ahli badan profesional dan persatuan, servis kewangan dan insurans, badan korporat juga pencipta kandungan yang diiktiraf sebagai duta jenama Jaecoo.

    Jika termasuk dalam golongan yang disebutkan tadi, anda boleh pergi ke mana-mana pusat pameran Jaecoo dalam negara dan tunjukkan bukti kelayakan serta dokumen seperti tanda keahlian dengan badan profesional atau bukti pekerjaan. Manfaat program ini juga dapat diguna pada ahli keluarga terdekat mereka yang layak.

    Kedua-dua varian AWD dan 2WD J7 datang dengan enjin empat silinder 1.6 liter 194 hp/290 Nm, yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Versi PHEV yang dilancarkan Februari lalu pula menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter bersama motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 347 PS/525 Nm. Dengan bateri LFP Blade, 18.3 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak elektrik 106 km (NEDC) dan jarak gerak keseluruhan sehingga 1,300 km.

    Harga jualan J7 PHEV adalah RM158,800 tidak termasuk insurans, iaitu RM10k lebih berbanding J7 AWD petrol. Versi 2WD pula adalah RM10k lebih murah.

     
     
  • Kerajaan patut tangguh pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95, kenaikan tarif elektrik – Hamzah

    Kerajaan patut tangguh pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95, kenaikan tarif elektrik – Hamzah

    Penggubal undang-undang menggesa agar kerajaan menangguhkan rancangan untuk memperkenalkan rasionalisasi subsidi petrol RON 95 dan reformasi fiskal lain termasuk langkah menaikkan tarif elektrik memandangkan ketidaktentuan ekonomi global, laporan The Star.

    Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang perubahan dasar, terutamanya langkah fiskal yang boleh memberi tekanan kepada kos, melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna harus ditangguhkan buat masa ini.

    “Rasionalisasi subsidi RON95 pada Jun tahun ini harus ditangguhkan, jika boleh, dan begitu juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai,” katanya di parlimen.

    Kerajaan patut tangguh pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95, kenaikan tarif elektrik – Hamzah

    Ahli Parlimen Bagan Lim Guang Eng turut memperkatakan perkara yang sama iaitu pengapungan harga RON 95 untuk menyamai kadar pasaran juga harus ditangguhkan, begitu juga dengan kenaikan tarif elektrik. Tambahnya, pengumuman baru-baru ini untuk menangguhkan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Mei adalah satu langkah yang dialu-alukan.

    Kerajaan dijadual memperkenalkan subsidi RON 95 yang disasarkan pada pertengahan tahun ini, namun setakat ini masih kurang pencerahan mengenai mekanisme pelaksanaan yang akan digunakan. Sehingga Mac, kerajaan masih belum menentukan bagaimana kaedah kelayakan untuk subsidi yang disasarkan serta menentukan mekanisme walaupun telah menyemak empat cadangan.

    Bagaimanapun, sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mekanisme itu akan berasaskan sistem harga dua peringkat dengan harga subsidi dan tidak bersubsidi. Dan mekanisme subsidi baharu tersebut akan dilaksanakan menggunakan sistem MyKad.

    .

     
     
  • Perodua tunjuk teaser konsep rekaan untuk Malaysia Autoshow — EV eMO-III terakhir sebelum pelancaran?

    Perodua tunjuk <em>teaser</em> konsep rekaan untuk Malaysia Autoshow — EV eMO-III terakhir sebelum pelancaran?

    Malaysia Autoshow akan kembali hujung minggu ini, dan akan ada pelbagai pengenalan dan pelancaran model baru dilakukan. Antaranya ialah beberapa “konsep menonjol” daripada Perodua. Syarikat itu telah mengeluarkan iklan teaser bagi mobiliti masa depan, yang sudah tentu melibatkan teknologi elektrifikasinya.

    Bukan lagi rahsia yang Perodua sedang mempersiap model elektrik pertamanya ketika ini — yang mana prototaipnya juga sudah pernah dilihat di atas jalan. Sejak 2023, Perodua telah menunjukkan model konsel eMO (Electric Motion Vehicle) — bermula sebagai model skala hinggalah kepada eMO-I (Myvi dengan gear elektrik) tahun lalu.

    Disember lalu, ketika di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS), Perodua menunjukkan pula eMO-II yang lebih hampir sebagai kereta produksi. Kali ini, tentunya boleh dijangkakan Perodua akan selangkah lagi untuk menjadikan model berkenaan sebuah kenyataan (mungkin akan dipanggil eMO-III) sebegai versi terakhir sebelum pelanggan boleh membuat tempatan.

    Perodua tunjuk <em>teaser</em> konsep rekaan untuk Malaysia Autoshow — EV eMO-III terakhir sebelum pelancaran?

    Ini dikuatkan lagi dengan kelibat model yang sedang diuji hujung minggu lalu, dengan rekaan yang nampaknya sudah semakin jelas — lampu utama terpisah, pemegang pintu tersorok serta lampu belakangnya lebih berjejak dan nyata. Ruang dalaman yang lebih realistik juga boleh dijangka akan ditunjuk minggu ini.

    Ketika di KLIMS juga beberapa perincian sudah mula didedahkan. Misalnya pecutan 0-100 km/j kereta ini dalam masa antara 6-7 saat, dengan jarak perjalanan antara 400 km hingga 410 km dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL. Perodua menyatakan yang bateri berkenaan akan diimport, dengan perancangan masa depan untuk melakukan pemasangannya sendiri.

    Perodua tunjuk <em>teaser</em> konsep rekaan untuk Malaysia Autoshow — EV eMO-III terakhir sebelum pelancaran?

    Juga ada kemungkinan harga permulaannya dari RM80,000 tanpa bateri, yang mungkin akan ditawarkan melalui kaedah langganan. Ia akan menjadi kereta pertama Perodua yang dibangunkan sepenuhnya sendiri, memandangkan rakan niaganya, Daihatsu tidak mempunyai model EV yang sesuai untuk di”pinjam”.

    Kereta EV Perodua ini akan menyaingi EV peringkat kemasukan daripada Proton, yang diberi nama jolokan ketika ini sebagai eMas 5 yang akan mula dijual hujung tahun ini. Kereta tersebut, yang akan menggunakan asas daripada Geely Xingyuan atau Star Wish, juga akan membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2025.

     
     
  • Perodua Myvi, Proton Saga, Honda City dan Yamaha 135LC catat kemalangan tertinggi pada 2024 – VTAREC

    Perodua Myvi, Proton Saga, Honda City dan Yamaha 135LC catat kemalangan tertinggi pada 2024 – VTAREC

    Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) mendedahkan Perodua Myvi menjadi kenderaan tertinggi dalam membuat tuntutan insurans akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu, yang merangkumi 24,628 tuntutan.

    Menurut koordinator VTAREC, Mas Tina Abdul Hamid, ia disusuli dengan Proton Saga sebanyak 16,159 tuntutan dan Honda City (13,388 tuntutan). Ini berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh industri insurans untuk tahun 2024, laporan New Straits Times.

    “Ini merupakan senarai 10 teratas kereta yang kerap terlibat dengan kemalangan jalan raya pada tahun lalu dan didahului oleh ‘King of the Road in Malaysia’ iaitu Myvi. Ini bukan sekadar tuntutan, tetapi berdasarkan statistik,” katanya dalam majlis pelancaran Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan Awam Seluruh Negara VTAREC 2025 bagi memberi kesedaran dan penglibatan awam.

    Perodua Myvi, Proton Saga, Honda City dan Yamaha 135LC catat kemalangan tertinggi pada 2024 – VTAREC

    Model kenderaan lain yang turut menduduki senarai ‘Top 10’ ini termasuklah Perodua Axia (13,285 tuntutan), Toyota Vios (13,007), Perodua Bezza (12,437), Perodua Alza (8,262), Proton Persona (6,930), Toyota Hilux (6,330) dan Honda Civic (4,372).

    Bagi motosikal pula, Yamaha 135LC menjadi model yang kerap kali terlibat dengan kemalangan jalan raya, dengan hampir 3,000 kes, diikuti Yamaha Y15ZR dengan 2,154 kes.

    “Kedua-dua model ini (Yamaha 135LC dan Y15ZR) meliputi sekitar 30% daripada keseluruhan jumlah motosikal yang terlibat dengan kemalangan jalan raya pada tahun lalu,” tambahnya.

    Terdahulu, beliau berkata, sebanyak 266,716 kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara pada tahun lalu. Di mana kemalangan yang melibatkan kereta merangkumi jumlah rekod tertinggi iaitu sebanyak 299,739 kes, diikuti 21,828 kes melibatkan kenderaan komersil dan motosikal dengan 15,149 kes.

     
     
  • Elak parkir di jalan raya di luar stesen LRT Glenmarie kerana kes curi bateri kereta – pengguna TikTok

    Elak parkir di jalan raya di luar stesen LRT Glenmarie kerana kes curi bateri kereta – pengguna TikTok

    Terdapat perkongsian video menerusi Tik Tok baru-baru ini yang memaparkan kes kecurian bateri kereta yang berlaku di tepi jalan raya di luar stesen LRT Glenmarie. Memang ramai pengguna LRT yang parkir kenderaan di luar tempat letak kenderaan yang disediakan kerana ruang yang terhad.

    Menerusi video yang dimuatnaik oleh @bateri.ku.com_ttdi, yang menasihati para penumpang supaya tidak meletak kenderaan di kawasan tidak dipantau di luar stesen dan mendakwa terdapat banyak kes kecurian bateri kereta di kawasan itu. Beliau menegaskan bahawa kereta Proton milik pelanggannya telah dua kali mengalami kecurian bateri.

    Ini nampaknya bukan kes terpencil, kerana beberapa netizen turut berkongsi pengalaman mereka tentang kecurian bateri kereta dan kehilangan barang-barang lain semasa diletakkan berhampiran stesen LRT Glenmarie. Pada penghujung video, si perakam video turut menasihatkan penumpang supaya meletakkan kereta mereka di stesen LRT bersebelahan dan bukan di sepanjang jalan di luar kemudahan Park and Ride di stesen LRT Glenmarie.

    Bukan sekadar kecurian bateri kereta, kerana lebih dua tahun lalu, seorang pemilik Honda City berkongsi pengalaman pahitnya apabila catalytic converter keretanya dicuri ketika diletakkan di stesen LRT Glenmarie. Jadi, selain meletakkan kenderaan di kawasan yang diyakini lebih selamat, pemasangan kamera pemuka (dashcam) yang mampu merakamkan visual secara berterusan walau pun enjin kereta tidak dihidupkan berupaya membantu menyalurkan bahan bukti bagi kes seumpama ini.

    @bateriku.com_ttdi Banyak kami dapat kes bateri kereta kena curi dekat kawasan LRT GLENMARIE ni. Mohon Pihak pengurusan, PBT, badan penguasa berkerjasama bagi menyelesaikan masalah ini. Kepada pengguna yg parking di sini, mohon berhati-hati baik lelaki atau perempuan. #baterikudotcom #baterikerete #tukarbaterikerete #baterikuttdijaya #baterikushahalam #lrtglenmarie ♬ original sound – baterikuttdishahalam

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025