Percaya atau tidak, Lexus Malaysia telah mengesahkan mereka akan membawa Lexus LC yang menggiurkan ke pasaran Malaysia. Pengumuman berkenaan kedua-dua varian iaitu LC 500 dan LC 500h yang akan mula mendarat di Malaysia pada tahun 2017 itu dibuat di laman sesawang rasmi mereka.
Kereta sport dua-pintu empat-tempat duduk LC 500 muncul buat pertama kali pada New York International Motor Show awal tahun ini dengan rekaan yang sangat agresif. Ia dilengkapi dengan enjin 5.0 liter tanpa induksi paksaan V8 menghasilkan 467 hp dan tork maksima 527 Nm.
Enjin tersebut juga turut menjana Lexus RC F dan juga GS F. Kuasa dari enjin berkenaan membolehkan LC 500 memecut dari sifar hingga 100 km/h dalam masa hanya 4.5 saat. Ia dipadankan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik torque converter, pertama seumpanya dalam segmen kereta mewah.
Varian yang lebih mesra alam, Lexus LC 500h yang tampil buat pertama kali pada Geneva Motor Show pula dijana oleh sistem Multi Stage Hybrid Lexus. Unit janakuasa tersebut menggabungkan enjin 3.5 liter V6 digabungkan dengan dua motor elektrik serta bateri litium-ion 44.6 kW. Kuasa dari unit ini akan dihantar ke roda belakang menerusi sistem transmisi unik menggabungkan sebuah kotak gear CVT dan sebuah lagi kotak gear automatik empat-kelajuan torque converter. LC 500 h dikatakan mampu untuk memecut dari 0-100km/j dalam masa dibawah lima saat.
Bagaimana dan mengapa LC 500h menggunakan dua kotak gear telah dijelaskan sebelum ini. Secara asasnya, jurutera Lexus mahu menghilangkan rubber band feel yang terdapat pada sistem transmisi CVT, seterusnya memberikan sensasi pemanduan berprestasi tinggi sebenar.
Setakat ini tiada lagi spesifikasi, varian mahupun harga dibuat oleh pihak Lexus Malaysia. Jadi, teruskan mengikuti paultan.org untuk mengetahui apa-apa berita baharu berkenaan Lexus LC ini.
GALERI: Lexus LC 500
GALERI: Lexus LC 500h
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.