GALERI: Perodua Axia vs Bezza – persaingan keluarga

Perodua_Axia_Bezza-1

Siapa kata dalam adik-beradik tidak patut bersaing antara satu sama lain. Jika ia merupakan satu persaingan secara sihat, ia wajar untuk diteruskan. Namun jika sebaliknya, kenalah fikir dahulu apakah implikasi pada masa hadapan. Nah! Perodua telah membuktikan di dalam ‘keluarganya’ sendiri, wujud persaingan sengit dan positif antara model-modelnya. Walau pun kini, Bezza berjaya ‘menumpaskan abangnya, Myvi, daripada segi tempahan dan jualan, namun orang ramai lebih gemar membandingkan antara sedan ini dengan Axia.

Sebelum anda membaca lebih lanjut artikel ini, setkan minda anda ke arah yang lebih telus dan positif. Walau pun kedua-duanya berada di bawah segmen-A, namun Perodua Axia mewakili model kompak, manakala Bezza pula sedan. Mungkin citarasa yang berbeza akan menentukan sama ada anda lebih menggemari kereta bersaiz kecil seperti Axia, atau pun Bezza yang lebih besar (terutamanya bagi ruang kargonya).

Anda boleh membaca artikel ‘sedan vs hatchback’, yang pernah kami siarkan sebelum ini untuk pencerahan yang lebih jelas antara dua klasifikasi kenderaan ini.

Sudah memahami pencerahan tersebut? Kita mulakan perbandingan antara kedua-dua model ini. Bermula dengan harganya, Axia 1.0L Advance ditawarkan pada harga atas jalan RM42,530 dengan insurans, sementara Bezza 1.3L Advance pula, tidak banyak jauh bezanya iaitu RM50,800. Ruang kargo yang lebih luas pastinya menjadi penyebab mengapa harga Bezza sedikit tinggi, tetapi jangan lupa sedan pertama Perodua ini juga ditampilkan dengan enjin yang besar dan elemen yang lebih banyak, berbanding Axia.

Perodua_Axia_Bezza-7

Mengenai penampilannya, Axia kelihatan lebih impresif, dengan bahagian hadapan yang nampak lebih garang bersama lampu utama projektor yang beralur dan gril trapezoidal yang besar. Namun sedikit berbeza dengan varian asas Axia E dan G yang imejnya lebih ‘lembut’ dengan gril atas dan bawah yang sedikit nipis, serta lampu utama reflektor dengan bentuk berbeza.

Sementara itu, Bezza tampil dengan gaya yang lebih matang bersama lampu utama reflektor (sedikit direndah taraf berbanding lampu utama projektor Axia), gril grafik dengan krom pada bahagian sudut atasnya. Ia nampak senada dengan gril bawah yang lebar merangkumi bahagian lampu kabus dan corong pengambilan udara.

Pada bahagian sisinya, kedua-duanya menampilkan beltline yang sedikit rendah menghala ke belakang, sekaligus memberikan paras rupa yang lebih sporty pada Axia, tetapi nampak sedikit ‘pelik’ pada Bezza.

Perodua_Axia_Bezza-6

Bergerak ke arah belakang pula, pastinya kita boleh mengenalpasti Bezza yang memiliki aluran yang agak curam pada bahagian butnya, memberikan pandangan yang sedikit tinggi. Malah lampu belakang LED pada sedan ini juga kelihatan sedikit mirip dengan Honda Civic FB iaitu generasi terdahulu, dan jaluran krom pada bootlid pula membuatkan ia nampak lebih kurang seperti model semasa Toyota Vios.

Selain itu, lampu LED berbentuk-C pada hujung belakang Axia (pada varian Advance dan SE) dan padanan plat nombor yang diposisikan rendah, memberikan imej yang nampak ringkas. Kedua-duanya ditampilkan dengan roda aloi bersaiz 14-inci, tetapi Bezza dipadankan dengan rekaan jejari-turbin dua tona. Lampu brek ketiga LED dipadankan pada kedua-dua model, tetapi hanya Bezza sahaja yang ditampilkan dengan elemen itu sebagai standard untuk semua variannya.

Menjengah bahagian dalamnya, anda akan mendapati keduanya tampil berbeza. Walau pun kedua-duanya memiliki ruang dalaman yang lebih kurang sama besar, namun Bezza tampil dengan gaya yang lebih premium dan penuh perincian termasuk kekemasan hitam berkilat sepenuhnya dan barisan suis yang lebih berketerampilan seperti tombol kawalan penghawa dingin, indikator, dan tombol gear. Kualiti materialnya juga telah banyak dipertingkatkan, termasuk didatangkan dengan tekstur yang lebih halus pada material plastik.

Perodua Bezza Advance (kiri), Perodua Axia Advance (kanan)

Kotak konsol yang dipasang di lantai juga antara elemen baharu yang ditampilkan, ia berada di hadapan tuil gear berdekatan dengan tempat pemegang cawan, sementara bahagian belakang kotak itu boleh dijadikan tempat meletak telefon bimbit (menggantikan pemegang cawan belakang pada Axia), dilengkapi dengan dua port pengecas USB bagi model 1.3 liter.

Perubahan lain yang ditampilkan termasuklah rekaan kluster instrumen yang lebih kemas, rev counter dan speedometer yang lebih kurang sama saiz (lebih kecil pada Axia), sementara trip computer pula kini diposisikan di tengah dan menerima paparan penggunaan bahan api yang baharu.

Varian tertinggi pada kedua-dua model ini turut menerima padanan tempat duduk balutan kulit, tetapi bezanya Bezza menerima rekaan quilted baharu pada tengah-tengah tempat didik, dan sulaman ‘Bezza’ pada perehat belakangnya. Malah sedan ini turut menerima trim perak pada pad hon roda sterengnya.


Perodua Bezza Advance (kiri), Perodua Axia Advance (kanan)

Bezza turut menawarkan kit yang mungkin kita tak pernah jangkakan ia akan ada pada model buatan Perodua sebelum ini, termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, bilah pengilap cermin sensitif-kelajuan dan cermin tingkap bahagian pemandu yang turun secara automatik. Sementara kedua-duanya juga memiliki pengesan parkir hadapan dan belakang, unit utama skrin sesentuh lengkap dengan Bluetooth, dan Bezza menambah elemen Smart Link yang mampu disambung pada telefon pintar (hanya Android) dan juga kamera undur.

Bagi aspek keselamatannya, Bezza lengkap dengan dua beg udara, ABS dengan EBD, dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dengan top tether sebagai standard untuk semua varian, sementara Axia pula ditampilkan dengan ABS hanya untuk varian SE dan keatas. Walau bagaimana pun, varian Axia G telah dipadankan dengan ASB sejak awal tahun ini, dan ini bermakna hanya varian asas Axia E sahaja tiada ASB.

Selain itu, varian tertinggi Bezza Advance menjadi model pertama Perodua yang dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), sekaligus melayakkannya menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Lain-lain model Bezza, termasuk semua varian Axia hanya menerima penarafan empat-bintang sahaja.


Perodua Bezza Advance (kiri), Perodua Axia Advance (kanan)

Secara umumnya, ruang kargo bagi kedua-dua model ini adalah sangat berlainan. Axia tampil dengan ruang kargo seluas 260 liter, yang dikatakan mendahului saiz dan kelasnya, secara faktanya, ia lebih besar berbanding Myvi iaitu hanya 208 liter. Namun Bezza tampil lebih istimewa dengan keluasan ruang kargo berkapasiti 508 liter.

Jika semua varian Axia dilengkapi dengan ejin yang sama iaitu 1.0 liter 1KR-DE2 tiga-silinder, Bezza pula menawarkan dua pilihan enjin. Bagi varian asas Standard, ia menerima versi yang dipertingkatkan dengan VVT-i, iaitu 1KR-VE dengan tambahan output sebanyak 1 hp dan 1 Nm, menjadikannya 67 hp pada 6,000 rpm dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm.

Sementara varian yang lebih tinggi pula dipadankan dengan enjin baharu 1.3 liter 1NR-VE empat-silinder. Unit ini turut menerima teknologi Dual VVT-i dan mampu menghamburkan kuasa sehingga 94 hp pada 6,000 rpm dan tork 121 Nm pada 4,000 rpm. Kedua-d0a enjin kini ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, tetapi seperti Axia Advance, Bezza Advance hanya bertransmisi automatik sahaja.

Perodua_Bezza_Int-4

Penggunaan bahan api adalah paling penting bagi model-model keluaran Axia sejak kebelakangan ini. Bagi Axia, ia masih menjadi ‘juara’ bagi penjimatan bahan api dengan angka penggunaan kombinasi antara 21.6 km per liter bagi transmisi manual dan 20.1 km/l untuk automatik, tetapi lain pula pada Bezza.

Ia terhasil dengan aerodinamik yang dipertingkatkan dan penggunaan yang lebih rendah pada rintangan tayar, Bezza bagi 1.0L mencatatkan penggunaan 22.8 km/l untuk transmisi manual dan 21 km/l bagi Auto, sementara model Advance dengan fungsi melahu enjin Eco Idle boleh mencapai 22 km/l.

Jadi, setelah meneliti perincian antara Bezza dan Axia, mana satu yang menarik perhatian anda? Jangan lupa untuk kongsikan komen anda bersama kami di ruangan pendapat di bawah.

GALERI: Perodua Axia

GALERI: Perodua Bezza

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Upin Ipin on Sep 06, 2016 at 11:00 am

    Saya tetap dengan Perodua Viva 850 2007 sebagai kereta belasahan. 9 tahun tanpa masalah besar. Tetap cemerlang dengan enjin DVVT.
    Kereta untuk perjalanan jauh (SUV) lebih banyak berehat di rumah.

    Like or Dislike: Thumb up 7 Thumb down 0
  • SudaPorn on Sep 08, 2016 at 8:47 am

    sy pun sama, perodua viva terbaik

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Eima me on Oct 10, 2016 at 10:17 pm

    Tak tau. Tgh pening nk pilih. Axia mmg ideal utk dlm bandar. Menyelit2 sbb kompak. But bezza utk jangkamasa panjang. Kot2 nnti ahli korum jemah bertambah ramai dgn segala benda nk angkut dlm kete. Huarghhh dlm dilema

    Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 1
    • mohammad on May 22, 2017 at 10:56 am

      Pening nak pilih yang mana?

      Bezza sesuai untuk anda yang selalu travel jarak jauh sikit. Enjin lebih besar dan ada bahagian boot. Untuk keluarga baru yang ada dalam 3-4 orang sesuai.

      Axia pula sesuai untuk sesape yang nak guna untuk pergi dan balik kerja, jarak yang dekat. Bukan tak sesuai untuk jalan jauh, tapi perlu ‘sangat relax’ saat memandu untuk perjalan jauh sebab enjin hanya 1.0. But pula lebih kecil tetapi sangat mencukupi sebab saiz boot lebih besar dari Myvi.

      Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 1
      • Abe Man on Jul 26, 2022 at 12:50 pm

        Walaupun saiz asal bonet barang Axia lebih kecil, tapi bila dicabut speker board dia akan jadi jauh lebih besar berbanding Bezza. Lebih banyak barang boleh muat. Kalau kita nak pindah barang besar sikit-sikit untuk jarak dekat Axia boleh bawak. Rebahkan je seat belakang. Bezza tak boleh. Bukan nak kondem Bezza, api itu kelebihan tambahan Axia.

        Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
    • Saya baru je tempah bezza on Jul 23, 2017 at 6:42 pm

      Fikir untuk jangka masa panjang… Bezza boleh pakai lama sampai anak 2@3. Alah tak payah pikir jauh, anak sorang je pun nanti dah perlu sangat ruang boot yg besar. Mana nak letak stroller, carseat, beg baju etc kalau guna axia? Lagipun beza harga axia Dan bezza sangat sedikit berbanding penggunaan yg lebih jika sedan. Setakat nak menyelit Kat bandar, Taklah kritikal sgt sbb lama2 nanti dah biasa dgn bezza tak susah pun.. Paling penting, bezza sama jimat minyak mcm axia tau. To be honest, rugi beli axia to me… Harga yg lebih kurang sama dgn axia, tp dapat sedan.

      Like or Dislike: Thumb up 17 Thumb down 7
  • taufiq on Jan 24, 2018 at 1:10 pm

    salam

    bagi saya kedua nya ada kemampuan dan boleh memenuhi keperluan masing2.

    namun bagi saya, dari segi penjimatan minyak yang paling terbaik ialah kancil 850 manual

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 3
 

Add a comment

required

required