mercedesbenz_w213_e200_ext-6

E-Class merupakan model yang paling penting dalam barisan kenderaan keluaran Mercedes-Benz. Walaupun ia bukan model yang diletakkan dalam kelas entry-level di mana ada lagi model yang berada dibawahnya dengan harga yang lebih murah seperti C-Class, B-Class dan A-Class, E-Class merupakan model paling laris Mercedes-Benz dalam sejarah, di mana sehingga tahun 2015, sebanyak 13 juta unit model berkenaan telah terjual.

Sebagai antara model yang terbaik dalam kelasnya juga, E-Class tidak terlepas dari saingan oleh musuh tradisi. Untuk segmen setaranya, E-Class dilihat berhadapan ‘pertarungan sengit’ dari model keluaran jenama senegaranya iaitu BMW 5 Series. Mercedes-Benz E-Class generasi sebelum ini iaitu model W212 disaingi hebat oleh BMW 5 Series F10 dan tahun ini merupakan penamat bagi saingan untuk kedua-dua jentera berkenaan apabila produksi model-model ini ditamatkan.

Mercedes terlebih dahulu memperkenalkan senjata mereka untuk saingan peringkat seterusnya dengan memperkenalkan generasi terbaharu E-Class W213 pada Detroit Motor Show Januari lalu, manakala BMW 5 Series G30 baharu sahaja diperkenalkan awal bulan ini dan hanya akan dipasarkan bermula Februari 2017.

E-Class W213 ini mula menerjah masuk ke pasaran Malaysia Jun lalu, dilancarkan hanya selepas lima bulan diperkenalkan untuk peringkat global. Mercedes-Benz akan membawa model ini dalam versi CKD tahun hadapan, dan buat masa sekarang, hanya unit CBU yang diimport sepenuhnya dibawa masuk ke Malaysia dalam varian E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive. Model E 300 AMG line CBU pula bakal tiba di Malaysia pada November ini.

mercedesbenz_w213_e200_ext-27

Namun, MBM turut membawa masuk berberapa model E 200 yang agak istimewa dalam jumlah yang terhad, diberikan kemasan lebih tinggi dari Avantgarde seperti E 200 AMG Line (seperti pada galeri di bawah) dan juga model yang diterima untuk sesi pandu uji kali ini – E 200 Exclusive Line. Kedua-dua model ini dibekalkan dengan enjin dari varian E 200, tetapi kelengkapannya adalah sama dengan varian E 300 AMG dan E 250 Exclusive.

Model asas E 200 Avantgarde dijual pada harga RM395,888, manakala model istimewa E 200 Exclusive ini dijual pada harga RM410,888. E 200 AMG Line pula dijual pada harga RM415,888 dan sebagai perbandingan, model E 250 Avantgarde dijual pada harga RM420,888 manakala E 250 Exclusive pula dijual pada harga RM425,888. Kesemua harga yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

E-Class generasi terbaharu ini diasaskan dari platform Modular Rear Architecture (MRA) iaitu platform yang sama dengan C-Class generasi terkini. Jarak roda keseluruhan E-Class terbaharu ini diukur dengan 2,939 mm, iaitu 65 mm lebih panjang dari W212. Manakala panjang keseluruhan model ini pula ialah 4,923 mm, 43 mm lebih panjang dari model sebelum ini. Lebar keseluruhan model ini juga telah bertambah sebanyak 20 mm (1620 mm) pada bahagian hadapan dan 7 mm (1626 mm) pada bahagian belakang.

Seakan menjadi trend kereta-kereta dari Jerman, bahagian luaran barisan model mereka direka hampir seiras dan dibezakan hanya dengan saiz seperti Audi, Volkswagen dan juga BMW. E-Class W213 tidak terkecuali dari trend ini di mana ia direka seakan S-Class W222 tetapi dengan saiz lebih kecil. Sebagai model dengan pakej Exclusive line, unit pandu uji ini diberikan sepasang lampu hadapan Multibeam dengan 84-LED mengapit gril hadapan empat baris.

Tiada lagi lampu two-piece pada bahagian belakang seperti generasi W212 sebelumnya di mana E-Class W213 dilengkapi sepasang lampu belakang menampilkan rekaan dua bar optic kristal dan mempunyai bentuk seakan lampu belakang S-Class.

Dari sisi, bayangan badan E-Class ini juga kelihatan hampir sama dengan S-Class dengan bahagian but belakang kelihatan seperti terturun. Turut serta dalam pakej Exclusive line ialah roda aloi 10-jejari bersaiz 19-inci dengan tayar 275/35/R19.

Bahagian dalaman E-Class juga tidak terkecuali dari pengaruh S-Class, dengan gaya dan feel mewah yang hampir sama. Ia sememangnya kelihatan seperti S-Class dengan liang-liang penghawa dingin berbentuk bulat pada papan pemuka, serta susun atur kelengkapan lain seperti jam, suis penghawa dingin serta unit kawalan touchpad untuk sistem infotainmen COMAND pada konsol tengah yang boleh dikawal dengan tulisan tangan dan kawalan menggunakan suara LINGUATRONIC.

Model asas E 200 Avantgarde hanya dilengkapi dengan paparan meter analog biasa. Tetapi untuk varian dengan pakej Exclusive ini, ia diberikan skrin paparan instrumen bersaiz 12.3-inci yang bersambung dengan skrin infotaimen COMAND dibahagian tengah dengan saiz yang sama. Susunan kedua-dua skrin ini kelihatan seolah-olah dua buah tab bersaiz besar diletakkan di papan pemuka dan digunakan sebagai paparan instrumen.

mercedesbenz_w213_e200_int-32

Skrin dan unit infotainmen ini bukan sahaja hanya sekadar untuk imej futuristik, ia juga membolehkan pemandu ‘bermain’ dengannya untuk melaras pelbagai ciri pada sedan mewah ini. Untuk paparan instrumen sahaja, tiga tema paparan disediakan iaitu Classic, Sport dan Progresive. Untuk Classic dan Sport, ia menampilkan susunan dua meter utama iaitu meter kelajuan pada sebelah kiri dan takometer pada sebelah kanan manakala meter kelajuan digital diletakkan pada bahagian tengah. Perbezaan antara dua tema ini adalah jenis tulisan yang digunakan serta tema warna.

Walau bagaimanapun, untuk kedua-dua tema ini, paparan takometer pada sebelah kanan turut boleh memaparkan informasi lain seperti paparan ECO (serta takometer), penggunaan bahan api dan juga paparan peta navigasi. Antara ketiga-tiga tema paparan ini, saya selesa menggunakan paparan Progresive. Tema ini mengingatkan saya kepada paparan instrumen Lexus LFA, menampilkan takometer pada bahagian tengah, dengan meter kelajuan digital pada bahagian pusat. Susunan begini membolehkan anda menumpukan pada satu titik sahaja bagi mendapatkan maklumat kelajuan dan rpm enjin.

Untuk info lain pada tema Progresif ini seperti meter trip, paparan ECO, ia disusun sebelah kiri dan kanan takometer utama. Paparan peta navigasi juga boleh diletakkan pada bahagian kanan sekiranya pemandu mahukannya.

Kesemua larasan dan kawalan untuk skrin-skrin sistem COMAND ini boleh dibuat dengan pelbagai cara. Antaranya menggunakan suis putar dan touchpad pada konsol tengah, mahupun touchpad pada bahagian kiri dan kanan roda stereng. Sebenarnya, ia bukan sekadar larasan infotainmen boleh dibuat menerusi kelengkapan ini. Pemandu juga boleh melaras lampu suasana kabin (larasan sehingga 64 warna), tetapan untuk sistem penggera, dan banyak lagi.

Untuk memberikan ruang unit kawalan COMAND dan juga ruang storan yang lebih besar pada konsol tengah, tuil penukar gear telah tempatkan pada bahagian kolum stereng, yang kelihatan seperti suis pengelap cermin atau suis lampu isyarat membelok. Konsep rekaan ini sebenarnya sudahpun dimulakan dari generasi sebelum ini lagi seperti pada model E-Class W212 sendiri. Secara peribadi saya kurang selesa dengan rekaan begini, pertamanya ‘rasa kurang bergaya’ dan janggal ketika mengalih gear, dan kedua ia agak mengelirukan bagi mereka yang tidak biasa dengan kereta ini.

Antara ciri menarik lain pada E 200 Exclusive ini, ia turut dilengkapi dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar (menggunakan hubungan NFC) serta bumbung panaromik gelangsar.

Setelah mengamati rekaan luaran dan dalaman, bagaimana pula perasaan ketika memandu sedan mewah ini? E 200 W213 dikuasakan dengan enjin M 274 DE AL 2.0 liter empat silinder turbo. Ia merupakan enjin varian paling asas dalam barisan model E-Class berkuasa 181 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm. Varian lebih tinggi bakal dijana oleh enjin yang sama tetapi berlainan talaan dimana enjin E 250 mampu menjana 21 hp/300 Nm manakala untuk E 300 ia berkuasa 245 hp/370 Nm. Kesemua varian dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic Mercedes.

Dalam kertas, Mercedes mendakwa gabungan tersebut membolehkan sedan ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.7 saat, 0.3 saat lebih pantas dari E 200 W212. Penggunaan bahan api pula dinyatakan mampu mencapai penggunaan 5.9 liter petrol untuk 100 km perjalanan.

mercedesbenz_w213_e200_ext-36

Kuasa yang dibekalkan ini tidaklah sangat besar dan tidak juga kurang. Ia sangat sesuai dengan konsep sedan mewah eksekutif yang diberikan. Tork pada rpm pertengahan sentiasa bersedia sekiranya pemandu memerlukan, cuma pada keadaan-keadaan tertentu, sedikit turbo-lag dirasakan ketika pedal pendikit tiba-tiba ditekan secara agresif.

Kotak gear 9G-Tronic yang dipadankan juga sangat cemerlang melakukan tugasnya. Walaupun bukan kotak gear jenis klac berkembar, transmisi dengan torque converter ini mampu memberikan tindakbalas yang responsif, serta memberikan penukaran gear yang lancar tanpa rasa sentakan.

Empat mod pemanduan disediakan yang akan menala semula karekter pemanduan dipilih menerusi butang Dynamic Select (diletakkan pada sebelah kiri suis putar) dengan pilihan mod Comfort, Eco, Sport dan Sport+. Untuk Mod Comfort dan Eco, kuasa enjin dan transmisi disampaikan dengan lebih relaks, dan kadangkala terasa seperti kereta ini agak ‘malas’ untuk bergerak.

Jadi, jika mahu E 200 ini beraksi dengan lebih tangkas, anda boleh memilih mod Sport atau Sport+. Dua mod ini akan menjadikan kuasa enjin dan penukaran gear lebih agresif serta stereng juga akan ditala lebih berat tetapi lebih responsif. Namun, jika anda tidak gemar dengan pilihan mod yang telah dipreset ini, anda boleh menggunakan pilihan Individual yang disediakan. Menerusi fungsi ini, anda boleh memilih sendiri padanan talaan, misalnya, anda boleh memmilih talaan agresif dari enjin dan kotak gear dari mod Sport dan memadankannya dengan talaan stereng lebih ringan dari mod Comfort.

NVH – ini antara sebab utama pengikut Mercedes-Benz memilih untuk setia dengan jenama ini. Untuk model E 200 ini, kedapan bunyi berada pada tahap terbaik. Gabungan dengan material kulit dan kusyen yang lembut, menjadikan pengalaman berada didalam kabin E 200 ini benar-benar berada pada tahapnya yang tersendiri.

Ini turut dibantu talaan suspensi yang menyerap hentakan terhadap permukaan jalan tidak rata dengan baik sekali. Ia juga mampu memberikan pergerakan turun-naik badan kereta yang baik sewaktu melalui permukaan beralun, menjadikan penumpang tidak terasa terlalu berayun. Satu perkara lagi yang turut menyumbang kepada tahap keselesaan ini adalah kotak gear sembilan kelajuan yang dipadankan, membolehkan pemanduan secara crusing di lebuhraya pada kelajuan sekitar 140-160 km hanya dengan kelajuan putaran enjin di bawah 3,000 rpm.

Seperti juga generasi sebelum ini, pakej keselamatan untuk E-Class baharu ini turut disertakan dengan pelbagai fungsi bantuan pemanduan. Ini termasuk sistem Parking Pilot yang membantu pemandu kereta mencari petak parkir seterusnya memarkir kereta tersebut pada petak parkir sama ada secara selari atau menegak, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

Bercakap tentang Pre-Safe, sistem pada model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem Impulse side baharu (menggunakan peninggi tempat duduk untuk menolak penumpang menjauhi bahagian sisi yang dilanggar untuk memberikan ruang selamat yang lebih baik) dan sistem Sound (memberikan bunyi prima pada telinga penumpang menggunakan isyarat gangguan pendek sekiranya ia mengesan pelanggaran dengan bunyi dentuman yang kuat akan berlaku).

Sewaktu menghadiri majlis pelancaran model ini, seorang rakan bertanya kepada saya “berbaloi ke beli kereta ni?” setelah harga jualan permulaan RM400k diumumkan. Dengan muka yang terpinga-pinga, tiada sebarang jawapan yang dapat saya berikan. Namun, setelah segala unsur kemewahan yang dapat saya rasai sepanjang ‘pemilikan sementara’ sedan esekutif ini, saya yakin dapat memberikan jawapan yang konkrit untuk persoalan tadi.

GALERI: Mercedes-Benz W213 E 200 Exclusive Line

GALERI: Mercedes-Benz W213 E 200 AMG Line