UMW Toyota panggil semula Vios, Altis, Yaris, Alphard di M’sia – tukar inflator, termasuk bagi model import

2009-toyota-vios-trd-sportivo

Susulan daripada panggilan semula besar-besaran yang dilakukan oleh Toyota Motor Corp (TMC) bagi menggantikan inflator beg udara Takata yang melibatkan jutaan kenderaan di seluruh dunia, pengedar tempatan, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengumumkan panggilan semula bagi pemilik kenderaan terlibat di Malaysia.

Dan ini juga merupakan aktiviti besar-besaran; ia melibatkan penggantian inflator bagi sistem beg udara bahagian pemandu dan/atau penumpang bagi beberapa model utama. Antaranya ialah Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011.

UMWT menyatakan sejumlah 80,000 unit kenderaan jenama itu terlibat. Angka itu bagaimanapun hanya termasuk kenderaan yang diedarkan oleh pengedar rasmi sahaja. Kempen terbaharu ini adalah lanjutan kepada kempen sebelumnya yang memberi kesan terhadap hampir semua jenama pengeluar utama Jepun. Ia juga merupakan panggilan semula terbesar dalam sejarah industri automotif setakat ini.

Masalah berkenaan disebabkan oleh penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Inflator berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serbihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

2010-toyota-corolla-altis

UMWT menyatakan bahawa syarikat induknya TMC kini sedang berusaha mendapatkan alat ganti terlibat bagi panggilan semula ini. Sebaik sahaja ia diperoleh, UMWT akan maklumkan pemilik, meminta agar mereka membawa kenderaan terlibat ke pusat servis bertauliah Toyota untuk penukaran berkenaan, yang mengambil masa satu hingga tiga jam. Semua kos akan ditanggung oleh UMWT.

Syarikat itu juga sedia maklum bahawa segelintir daripada pemilik kenderaan terlibat bukanlah pemilik pertama yang berdaftar dengan UMWT dan tidak dapat dihubungi. Dalam kes ini, mereka perlu menghubungi pusat servis Toyota atau memaklumkan ke talian Toyota Freephone di 1800-8-TOYOTA (869682). Toyota juga kini sedang dalam proses mengemaskini pangkalan data VIN dan pemilik boleh memeriksa nombor VIN kenderaan mereka di laman khas berkenaan.

Bagaimana pula dengan model Toyota yang bukan dibawa masuk melalui pengedar rasminya? Merujuk kepada model-model grey import yang mungkin terlibat sama, terutama bagi pemilik model Alphard dan Vellfire yang dikilangkan dalam tempoh sama (Oktober 2007 dan Disember 2011), mereka juga akan turut dilindungi serta terlibat dalam kempen ini. Namun, keutamaan akan diberikan kepada pelanggan UMW Toyota terlebih dahulu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required