Menunaikan janjinya untuk melancarkan empat model bagi tahun 2016, Proton akan mencipta satu lagi sejarah pada hari ini dengan melancarkan Proton Ertiga. Anda boleh saksikan pelancaran model MPV ini secara langsung eksklusif menerusi paultan.org mulai jam 11.15 pagi ke atas.
Untuk pengetahuan anda, MPV ini adalah hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki dengan menerusi model rebadged Suzuki Ertiga facelift, dengan komponen terurai (knocked down) didatangkan dari Suzuki Indonedia.
Ertiga, MPV tiga barisan tempat duduk ini mula menerjah pasaran pada tahun 2012, dilancarkan di India, sebelum ia memasuki pasaran Indonesia, dengan model facelift pada tahun lalu. Ia berkeupayaaan dikonfigurasi untuk tujuh-tempat duduk, tetapi untuk pasaran Malaysia, ia hanya didatangkan dengan enam-tempat duduk bersama konfigurasi 2-2-2.
Proton Ertiga turut berkongsi enjin yang sama dengan Suzuki Ertiga dan Swift iaitu enjin petrol MPI K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT berkuasa 92 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,000 rpm. Malah ia turut menggunakan rantai pemasa (timing chain) yang mengurangkan kos penyelenggaraan berbanding tali sawat pemasa (timing belt) yang digunakan pada enjin-enjin Proton lain. Ia turut diberi pilihan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan dari Aisin.
Ditawarkan dengan tiga varian iaitu Executive MT, Executive AT dan model spesifikasi tertinggiExecutive Plus AT, dan antara elemen yang dilengkapi termasuklah pemain CD/USB dengan empat pembesar suara (enam untuk Plus AT), penghawa dingin belakang yang dipasang pada bahagian bumbung antara tempat dudukbarisan pertama dan kedua (bersama cooling coil dan kawalan penghembus) dan soket kuasa 12V (satu di bahagian hadapan, satu di barisan kedua). Bagi aspek keselamatan, Ertiga dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan EBD dan dua cagak Isofix.
Kami juga telah memandu uji Ertiga di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton pada minggu lalu. Untuk mengetahui tentang ulasan tersebut, sila klik DI SINI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.