honda-br-v-preview-official-1

Mee-sà~này iaitu perkataan Thailand yang bermaksud menarik. Itulah satu-satunya perkataan yang paling sesuai untuk digambarkan terhadap Honda BR-V ketika berpeluang mendampinginya selama dua hari di Bangkok baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, ini bukan pertama kali penulis berpeluang memandu ujinya. Kali pertama setahun yang lalu sewaktu penulis bersama rakan media permotoran tempatan dibawa oleh Honda Malaysia untuk membuat liputan di Tokyo Motorshow 2015. Ketika berada di sana, kami sempat memandu uji model crossover tujuh-tempat duduk ini di Twin Ring Motegi dan liputannya dimuatkan di Infokereta.com (laman web kami terdahulu sebelum paultan.org/bm).

Walau bagaimana pun, ketika itu, BR-V masih di peringkat prototaip dan memang sudah ada ura-ura yang Honda Malaysia akan membawa masuknya ke pasaran kita.

Pada hujung Januari 2016, BR-V secara rasminya mula dijual di Thailand yang menawarkan dua varian dengan harganya bermula 750,000 baht (RM94,183) untuk varian V, manakala varian SV pula 820,000 baht (RM102,973). Manakala pada Mei lalu, ia mula diperkenalkan di India pula, selain turut dipasarkan di Indonesia.

honda-br-v-preview-ext-4

Dan memasuki November 2016 pula, Honda Malaysia telah mengesahkan bakal memasarkan BR-V dan ia dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Honda, Pegoh, Melaka. Walau bagaimana pun, tarikh pelancarannya masih samar-samar, namun kami menjangkakan ia bakal berlangsung pada Januari 2017.

Malahan Honda Malaysia juga telah mempamerkan secara eksklusif BR-V di Malaysia Autoshow 2016 yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Malahan kami juga telah menerima beberapa siri spyshot yang dirakamkan menerusi lensa pembaca yang mengesannya sedang diuji di jalan di negara kita.

Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Awam Honda Malaysia, Jordhatt Johan Shrithra, yang turut menyertai kami ke Bangkok, ada beberapa negara mengklasifikasikan BR-V sebagai mini SUV. Namun di Malaysia, ia lebih diklasifikasikan sebagai crossover, kerana memiliki gaya yang lebih kurang sama seperti sebuah SUV.

Sesi pandu uji dari Bandar Bangkok ke Ratchaburi (dua hala) melibatkan perjalanan sejauh 284 km bergilir-gilir memandu dengan rakan sekutu dari paultan.org, Gerard Lye dan seorang lagi rakan media.

honda-br-v-preview-official-2

Jika di Thailand, BR-V ditawarkan dengan dua konfigurasi tempat duduk iaitu lima- dan tujuh-, namun di Malaysia, hanya tujuh-tempat duduk sahaja bakal dipasarkan.

Crossover ini menggunakan platform yang sama dengan MPV Mobilio, Brio hatchback dan Amaze sedan. Ia dibangunkan oleh Honda Research and Development (R&D) Asia Pacific Co. Ltd. (HRAP), Thailand pada tahun 2015.

BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC sama seperti City dan Jazz dengan kuasa 120 ps pada 6,600 rpm (paling tinggi dalam kelasnya) dan tork maksima 145 Nm pada 4,600 rpm. Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT yang menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan. Di India, BR-V turut ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC dengan kuasa 100 PS dan tork 200 Nm. Walau bagaimana pun, Malaysia hanya menerima enjin petrol sahaja.

Terjahan enjin berkapasiti 1.5L ini sebenarnya cukup sederhana, membawa badannya yang sedikit besar berbanding abangnya yang memiliki penjana kuasa yang sama iaitu Jazz dan City, jangan mengharapkan ia mampu menghasilkan lonjakan kuasa yang mengagumkan.

honda-br-v-preview-ext-37

Transmisi bagi BR-V versi Siam ini, bagi penulis, tidaklah begitu padu. Sedikit lambat memberikan respons untuk gear permulaan, tetapi bila kenderaan sudah mendapatkan momentum yang diingini, barulah terasa okay.

Perkara ini sama dirasai sewaktu menguji City, Jazz dan HR-V di Thailand dahulu. Untungnya Honda Malaysia memberikan kelainan pada transmisi modelnya. Malah menurut mereka, transmisi CVT bagi BR-V versi Malaysia diberi sedikit talaan berbeza bagi respons yang lebih padu dan bersepadanan dengan karakternya.

Jadi ketika mengujinya di Bangkok, jika mahukan ledakan kelajuan yang lebih pantas, pemilihan gear ‘S’ (mod sport), putaran rev serta-merta boleh mencanak lebih kurang 500-1,000 rpm, mempercepatkan lagi tujahan kuasa pecutannya. Ia sangat membantu terutamanya selepas jentera baru berhenti di persimpangan lampu isyarat atau pun ketika mahu memotong kenderaan lain.

Walau bagaimana pun, harus diingat, tujahan kuasa bukan ‘selling point’ bagi BR-V. Jadi jangan merungut jika terasa kapasiti enjinnya kecil untuk menampung badannya, terutamanya jika penuh dengan tujuh orang penumpang atau pun sarat dengan muatan barang. Ia bukan tidak ada kuasa langsung (underpowered) cuma sedikit kurang. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tidak padankan BR-V dengan enjin 1.8L seperti HR-V dan Civic? Menurut Honda, disebabkan ia turut dikenali sebagai ‘SUV mini’, maka enjinnya juga lebih kecil berbanding dengan SUV crossover HR-V dan SUV CR-V.

honda-br-v-preview-official-9

BR-V memang cukup sesuai dengan pemanduan urban daripada segi gaya, pengendalian dan kuasanya. Semestinya di bandar, tidak begitu ditagih pemanduan yang agresif, apatah lagi di kawasan yang sibuk dan sering kali sesak (seperti Bangkok, Jakarta dan KL). Jadi, pecutannya tidak perlu ditagih, malahan pemanduan sederhana memang cukup bersesuaian. Malah pemanduan ECO sangat membantu, terutamanya bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Bila memasuki lebuhraya atau pun jalan yang lebih lengang, pasti kaki terasa gatal mahu memberikan sedikit tekanan pada pedal pendikit. Saat ini, mungkin anda memerlukan kerahan tenaga yang lebih untuk enjinnya. Jika anda tidak kisah untuk menggunakan bahan api yang sedikit tinggi, tekanan pada pedal pendikit boleh diteruskan, tambahan pula dengan pemilihan mod S bagi pacuan yang lebih agresif.

BR-V tidak disertakan dengan gear manual dan pedal penukar gear di belakang stereng. Jadi penggunaan mod S sudah memadai apabila tujahan kuasa diperlukan. Tetapi memandu di sekitar Bangkok memang memerlukan fokus yang lebih kerana kebanyakan pemandu di sana memang memandu ‘ikut suka hati’, bila-bila masa tukar lorong atau membuat pusingan-U. Jadi khidmat brek yang padu memang diperlukan dan BR-V turut dibekalkan sistem yang berpadanan termasuk dengan kehadiran ABS, EBD dan VSC.

Walau bagaimana pun, padanan stereng berkuasa elektronik (EPS) terasa agak ringan biar pun sewaktu pengendalian dalam kelajuan yang tinggi. Namun ia bukanlah suatu perkara yang menyulitkan, cuma kawalannya perlu lebih diberi tumpuan.

honda-br-v-preview-official-5

Bagi BR-V, sistem suspensinya juga boleh disifatkan sebagai cemerlang, dengan gandingan topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Kesan bumpy tidak begitu terasa walau pun melalui permukaan jalan yang beralun. Malahan penulis juga sempat merasai duduk di barisan ketiga, dan ia masih terasa agak selesa ketika kenderaan dipandu dengan kelajuan yang sedikit tinggi dan merentasi jalan yang berliku. Ternyata gabungan sistem suspensi ini mampu mengelakkan daripada membuatkan BR-V dilambung rasa bumpy dan mendatangkan ketidakselesaan orang yang berada di dalamnya.

Bagi kesan bising, getaran dan kekasaran (NVH) untuk BR-V versi Thai ini, ia berada pada tahap sederhana. Bunyi bising enjinnya tidak begitu menyerang masuk ke dalam kabin, sesekali ya sekiranya enjin dikerah secara berlebihan.

Namun menurut Honda Malaysia, NVH bagi BR-V versi Malaysia akan dipertingkatkan lagi. Ini termasuklah dengan penambahbaikan getaran stereng, menambah penebat bagi beberapa bahagian termasuk pintu, hud, papan pemuka, garisan bumbung dan menambah ketebalan karpet lantai.

Memang BR-V ini hanya sekadar pacuan dua-roda, namun menurut Honda, ia juga boleh digunakan secara lasak, apatah lagi ia mempunyai jarak kelegaan tanah (ground clearance) paling tinggi dalam kelasnya iaitu 201 mm. Jadi menambahkan sedikit keyakinan seandainya harus merentasi corak jalan yang lebih pelbagai. Mungkin boleh cuba melenjan BR-V di laluan off-road yang ringan? Atau meranduk air banjir (tetapi pastikan banjir tersebut kurang dari ground clearance BR-V ya!)

honda-br-v-preview-ext-18

Dengan struktur kerangka yang menerima tempaan G-Force Control Technology (G-CON), bingkainya mampu menyerap impak dan melindungi kabin secara lebih optimum terutamanya jika terbabit dalam kemalangan. Malahan bentuknya juga dilindung dengan Side Impact Beam yang memberikan aspek ketegaran kerangka yang lebih optimum.

BR-V memiliki dimensi 4,456 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,666 mm tinggi dengan jarak roda 2,662 mm, sesuai dengan penciptaannya untuk memberikan ruang kabin yang lebih luas. Sebagai perbandingan, SUV ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Malah bagi penumpang yang berketinggian kurang daripada 175 sm juga masih boleh duduk di tempat duduk barisan ketiga kerana masih ada ruang kepala yang selesa dan ruang kaki pula mungkin ngam-ngam saja.

Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40 manakala untuk baris ketiga pula (turut diberikan tali pinggan tiga poin) ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo berkapasiti 539 liter (223 liter sekiranya tempat duduk tidak dilipat). Malah Honda turut mendakwa ruang kargo dengan kapasiti ini adalah yang terbaik dalam kelasnya.

Namun BR-V di Thailand ini, ada ‘sedikit pelik’, bukan tentang konfigurasi tempat duduknya. Cuma bagi tempat duduk barisan kedua, apabila sudah dilipat, ditegakkan ke hadapan dan kemudian mahu menukarkannya ke posisi normal, anda perlu membaringkannya semula dan barulah ia boleh ditarik dan diatur normal semula. Malahan ia juga tiada pencangkuk untuk menahannya daripada terbaring semula apabila sudah dilipat ke hadapan. Seandainya kenderaan ditekan pedikit secara mendadak, mungkin kedudukan tempat duduk itu boleh terbaring semula.

Harap BR-V versi Malaysia dapat mengatasi kelemahan ini, sekurang-kurangnya diletakkan tali pencangkuk bagi menahan tempat duduk barisan kedua yang dilipat ke hadapan itu.


Okay, satu lagi masalah yang dapat dikesan ialah tempat duduk pemandu tidak boleh ditinggikan. Ya, ia menjadi masalah kecil bagi pemandu yang bersaiz kecil termasuk penulis (yang cuma berketinggian 150 sm). Namun disebabkan crossover ini agak tinggi, ia masih memberikan fokus pemandangan yang tidak terhalang.

Namun bagi BR-V versi India, tempat duduk pemandunya boleh ditinggikan. Jadi, kemungkinan besar BR-V spesifikasi Malaysia juga akan mempunyai elemen tersebut.

Rekaan dalamannya juga agak ringkas, dan BR-V juga menerima gaya papan pemuka yang sama seperti Jazz dan City, bersama roda stereng balutan kulit seperti model terdahulu City dan Jazz. Di samping itu, ia juga menampilkan operasi tanpa kunci, penghawa dingin automatik dan unit hiburan dengan skrin sesentuh 6.1-inci bersama sambungan iOS, Android, HDMI, USB dan Bluetooth.

Bagi keselesaan, corong udara penghawa dingin turut diletakkan di barisan kedua. Jangan risau, ia juga akan didatangkan bagi model spesifikasi Malaysia.

honda-br-v-preview-int-1

Mengenai aspek keselamatan, BR-V versi Thai dilengkapi dengan bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, dua beg udara di bahagian hadapan sebagai standard. Ia juga menawarkan pilihan tambahan bagi kamera pandang belakang.

Bagaimana pula dengan imej luarannya? Bagi BR-V versi Thai, ia ditampilkan dengan lampu utama projektor bersama lampu posisi LED, lampu belakang LED berbentuk-C, di mana semua ini adalah standard bagi kedua-dua varian.

Manakala untuk spesifikasi Malaysia seperti yang dipertontonkan di MIECC tempoh hari, bahagian hadapan BR-V dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan (dengan lampu nyalaan siang ) lebih bersegi digabungkan dengan rekaan signatur Honda Solid Wing, bampar hadapan yang kelihatan lebih lasak serta penutup enjin dan lampu kabus baharu, membezakan terus rupanya dari Mobilio.

Begitu juga pada bahagian belakang, BR-V menerima lampu belakang, pintu tailgate serta bampar yang tidak sama seperti Mobilio. Untuk melengkapkan rupa sebuah SUV, BR-V turut menerima kemasan ala-skid plate pada bampar hadapan dan belakang, rel bumbung, roda aloi bersaiz 16-inci dengan tayar berprofil tinggi.

BR-V yang dilengkapi VSA telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

Manakala berkenaan dengan harganya, memandangkan enjinnya berkapasiti kurang dari HR-V (RM98k-RM118k), maka ia akan berharga kurang dari SUV crossover itu, tetapi sedikit mahal berbanding Jazz (RM78k-RM87k) dan City (RM74k-RM89k).

Bagi pasaran Malaysia, satu-satunya model yang boleh dijadikan pesaing buat BR-V ialah Toyota Rush. Ini kerana jika mahu dibandingkan dengan Nissan Grand Livina, Toyota Sienta, Perodua Alza dan Proton Ertiga, model-model ini terletak dalam kategori MPV mini.

Jadi, jika anda mencari sebuah mini SUV dengan kapasiti tujuh-tempat duduk, nantikan pelancaran BR-V di Malaysia tidak lama lagi. Dan mungkinkah BR-V mampu mencipta sejarah yang sama dengan Jazz dan HR-V yang mencatatkan sambutan penuh menggalakkan apabila dilancarkan di Malaysia? Apa komen anda? Kongsikan bersama kami menerusi ruang komen di bawah.