Tidak perlu pindaan undang-undang untuk menurunkan kadar saman AES. Ini merupakan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang memaklumkan kadar saman AES dari RM300 sebelumnya kepada RM150 selepas ini tidak memerlukan pindaan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Memetik laporan The Sun, Liow berkata; “Kuasa untuk menentukan kadar saman di bawah akta berkenaan, termasuk AES, adalah di bawah bidang kuasa pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kami telah mengambil keputusan bahawa RM150 ialah tawaran saman yang diberikan kepada pesalah trafik untuk mereka menjelaskan segala saman AES sama ada yang tertunggak sebelum ini, saman semasa atau saman yang akan dikeluarkan selepas ini,” ujar beliau.
Sementara itu, saman RM300 di bawah Seksyen 79 (2) akta berkenaan masih kekal. Pengurangan bayaran saman ini diperkenalkan sebagai langkah untuk pesalah trafik sedia ada menjelaskan 2.5 juta saman AES tertunggak setakat ini. Jangka masa enam bulan ditetapkan untuk mereka berbuat demikian.
“Kami akan mengumumkan dalam masa terdekat, bila jangka masa enam bulan ini akan bermula untuk pesalah trafik menjelaskan saman mereka,” jelas Liow. Perintah mahkamah tidak diperlukan untuk melunaskan saman-saman AES sejak 2012. Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi menyatakan jika mereka gagal menjelaskan saman, jumlahnya akan meningkat. “Anda tangguh, anda akan membayar lebih banyak,” ujarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.