Skoda Octavia RS kini diberikan pembaharuan yang komprehensif, membawa ia sebaris dengan model biasa yang diperbaharui Oktober lalu. Naik taraf yang diberi melibatkan perubahan rekaan, sedikit tambahan teknologi serta sedikit peningkatan kuasa.

Rekaan baru inspirasi daripada SUV Kodiaq yang mendapat kritikan ramai, sama seperti model biasa digunakan juga pada RS, melibatkan lampu utama “crystalline” (LED penuh), serta gril dan salur udara lebih lebar. Bahagian belakang pula menggunakan lampu berbentuk C dan pencahayaan nombor plat LED.

Di dalam, terdapat sistem informasi dan hiburan baru, termasuk unit utama Swing skrin sesentuh. Bagi model varian tertinggi, iaitu Columbus, terdapat sistem navigasi, skrin 9.2 inci, WiFi hotspot dan sambungan LTE yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Antara perkara yang membezakan RS dengan Octavia lain adalah tempat duduk sport yang dibalut dengan gabungan kulit dan kain (bersama pilihan Alcantara), roda stereng sports pelbagai fungsi dan pedal aluminium.

RS disediakan dengan dua pilihan enjin; 2.0 liter diesel turbo berkuasa 184 hp dan 380 Nm tork, dan petrol 2.0 liter yang menerima tambahan 10 hp kuasa berbanding sebelum ini, menjadi 230 hp dan 350 Nm tork.

Bagi kedua-dua enjin ini, ia dipadankan dengan sama ada kotak gear manual enam kelajuan ataupun automatik klac berkembar DSG enam kelajuan. Bagi enjin diesel, apabila memilih kotak gear DSG, ia juga boleh didapati dengan sistem pacuan semua roda.

Pecutan 0-100 km/j bagi varian enjin petrol boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat manakala enjin diesel TDI pula 7.9 saat. Kelajuan maksimum masing-masing pula adalah 250 km/j dan 232 km/j. Penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.5 L/100 km bagi varian petrol dan 4.5 L/100 km bagi varian TDI.

Bagi mendapatkan pengendalian lebih baik, suspensi sport pada RS direndahkan sebanyak 15 mm manakala jarak antara roda kiri dan kanan pula lebih lebar 30 mm berbanding RS sebelum ini. Turut disediakan adalah Performance Mode Select, dengan pilihan Performance Sound Generator, LSD elektronik XDS+ dan Dynamic Chassis Control (DCC) dengan pilihan mod Comfort, Normal dan Sport.

Untuk aspek keselamatan, Octavia RS didatangkan dengan Front Assist, bersama brek kecemasan bandar automatik, perlindungan pejalan kaki, dan Crew Protect Assist yang dapat menutup tingkap dan bumbung suria sekiranya ia mengesan kemungkinan berlaku perlanggaran. Ciri baru lain adalah Trailer Assist, Blind Spot Detection dan Rear Traffic Alert.