Skoda-Kodiaq-Logo

Skoda bakal memperkenalkan model SUV baharu yang bersaiz agak besar pada pertengahan tahun ini dan dijangka mula memasarkannya pada awal 2017. Namanya kedengaran agar pelik iaitu Kodiaq. Menurut Skoda, nama ini diambil sempena dengan beruang Kodiaq yang tinggal di Kepulauan Kodiaq yang terletak di selatan Alaska.

Memiliki ketinggian hampir tiga meter dan berat sekitar 400 kg, Kodiaq jantan merupakan spesies beruang yang paling besar dan terkuat. Seperti mana dengan habitat beruang yang lain, Kodiaq juga tinggal berkumpulan dan hidup bersama haiwan lain. Malah turut berkongsi lokasi menangkap ikan salmon yang sama, menurut Skoda.

Besar, kuat tetapi bersikap mesra, itulah nilai yang ingin dikongsikan dengan model ini. Model SUV baharu Skoda ini sepanjang 4.70 meter, memiliki tujuh kapasiti tempat duduk dan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang. Malah Skoda turut mengakui, “kuasa yang tersembunyi sama seperti apa yang dilihat pada rekaannya, termasuk menampilkan garisan maskular yang memberikan gambaran dinamik, tegap dan mantap”.

Di Geneva Motorshow tahun ini, Skoda telah memperkenalkan model konsep VisionS yang memiliki kepanjangan 4.7m. Ia juga selebar 1.91m, model konsep ini ternyata lebih besar berbanding BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC. Ia menggunakan platform Modular Transverse Matrix (MQB) ciptaan Volkswagen dan memiliki enam tempat duduk dalam tiga barisan (barisan tengah boleh ditukar menjadi tiga tempat duduk). Manakala kapasiti ruang kargo pula ialah 460 liter.

GALERI: Skoda VisionS