Proton Holdings Bhd akan mengumumkan rakan strategik asingnya paling awal pada April nanti, atau paling lewat pada Jun, jelas CEO, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. Setakat ini, ada tiga syarikat yang disenarai pendek untuk tujuan itu. Bagaimanapun, beliua enggan menamakan ketiga-tiga pihak berkenaan, memetik laporan Bernama.
“Ini melibatkan pertukaran yang kompleks, di dalam industri yang juga kompleks. Sudah tentu ia memerlukan masa untuk menjadi kenyataan. Dan sebaik sahaja mereka menyediakan proposal kelak, kami masih perlu untuk melakukan banyak penjelasan, penilaian dan mungkin perundingan lagi,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika majlis pentauliahan Proton sebagai pusat sehenti bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi sektor automotif.
Proton ketika ini sedang meminta kertas cadangan untuk mencari rakan strategik asing yang boleh menyediakan hubungan yang strategik, dari segi operasi dan budaya kerja dengan matlamat untuk mengembangkan lagi potensi perniagaannya.
Beliau menambah, Proton dijangka akan menerima kertas cadangan lengkap pada Februari nanti, dan akan membuat pengumuman sebaik sahaja rakan strategik berkenaan dikenal pasti. “Mungkin akan ada rundingan lanjut sebelum keputusan diambil. Apa pun diharapkan persetujuan boleh dicapai sebelum pertengahan 2017,” jelas beliau lagi.
Perkara ini melibatkan Proton sebagai sebuah kumpulan syarikat, dan ini termasuk Lotus Group, yang dimiliki oleh Proton.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.