Proton hari ini ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai pusat sehenti bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Bersekali dengan itu, Proton juga menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan jabatan berkenaan untuk terus membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

Usahasama itu bukanlah sesuatu yang baru; ia sudah berlangsung sejak 24 tahun yang lalu dalam lapangan Teknologi Automotif. “Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengubah pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, program yang kami laksanakan ini adalah tanda komitmen terhadap membangunkan dan menghasilkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran,” jelas CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah 30 penerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), dengan penyerahan sijil oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem. 25 orang lagi turut diberikan biasiswa Yayasan Proton untuk melanjutkan pelajaran bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

SKM merupakan sijil yang diiktiraf diperingkat kebangsaan dan dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada individu-individu yang telah berjaya mencapai tahap keupayaan untuk mula berkerja. Setiap tahun juga, program World Skills Malaysia Belia (WSMB) diadakan untuk menyediakan latihan kemahiran yang betul kepada golongan belia, dan untuk mempromosi daya cipta terbaik diperingkat kebangsaan. Kemudiannya mereka akan bersaing diperingkat ASEAN Skills Competition dan World Skills Competition, yang akan berlangsung di Abu Dhabi.