TOL PLUS

Pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung mahu pun pergi bercuti ke mana-mana destinasi pilihan sempena cuti panjang Tahun Baru Cina (CNY) ini. Bagi yang memandu dan menggunakan lebuhraya di bawah kelolaan PLUS Malaysia, syarikat konsesi ini telah mengumumkan pemberian rebat sebanyak 30% bagi pengguna yang melakukan pembayaran tol secara elektronik. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) pada 4, 11 dan 15 Februari ini.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid, rebat tol sebanyak 30% ini akan diberikan kepada pengguna Kelas 1 (kecuali teksi) yang memandu melebihi 100 kilometer dan menggunakan pembayaran tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go or SmartTAG) pada tarikh yang dinyatakan.

Walau bagaimana pun, rebat tersebut tidak akan diberikan serta merta, sebaliknya pengguna perlu membayar kadar tol seperti yang ditetapkan oleh lebuhraya berkenaan. Rebat tol 30% ini hanya boleh ditebus di mana-mana pusat khidmat pelanggan PLUS antara 15 Mac hingga 14 Jun 2016.

TnG-SmartTag

PLUS turut menyediakan beberapa contoh mengenai rebat tol 30% ini, misalnya seorang pengguna lebuhraya yang memandu antara plaza tol Jalan Duta dan plaza tol Ipoh Selatan akan dapat jimat sebanyak RM7.95 dalam bentuk isian semula. Begitu juga jika memandu antara plaza tol Sungai Besi dan Skudai layak menerima rebat sebanyak RM12.39.

“Rebat tol ini ditawarkan kepada pengguna pada hari-hari yang bukan puncak untuk membantu pihak PLUS melaksanakan agihan trafik. Di samping itu, ia dapat dinikmati sepanjang hari pada tarikh-tarikh berkenaan dan tidak tertakluk pada masa tertentu,” ujar Noorizah.

PLUS menjangkakan pertambahan trafik di NSE akan meningkat sebanyak 20% iaitu mencecah 1.6 juta kenderaan sehari menjelang hari puncak iaitu pada 5, 6, 7, 9, 13 dan 14 Februari. “Oleh itu, kami akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan mereka dan mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan menjelang hari puncak pada musim percayaan ini,” tambah Noorizah lagi.