Jika semalam kita dah jamu mata melihat foto-foto LaFerrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewaktu berangkat mengunjungi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos tempoh hari, nah tonton video ini pula. Memberikan gambaran yang lebih jelas dan pastinya memukau pandangan mata hingga ke hati tatkala melihat hypercar baharu milik TMJ ini.

LaFerrari ini diproduksi hanya ada 499 unit di dunia dan bukan boleh dibeli sewenang-wenangnya, tetapi pembeli yang dianggap benar-benar layak terutamanya bagi penggumpul Ferrari yang akan ditawarkan oleh syarikat pengeluarnya untuk membeli jentera ini. Pastinya TMJ layak memilikinya dan warna ungu serta beberapa elemen khusus yang membaluti LaFerrari ini adalah sentuhan peribadi menerusi program Ferrari Tailor-Made.

LaFerrari dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 789 hp pada 9,000 rpm dan tork 700 Nm pada 6,750 Nm. Enjin berkuasa tinggi ini turut digabungkan dengan Hybrid Kinetic Energy Recovery System (HY-KERS) dengan motor elektrik berkuasa 163 hp, menjadikan hamburan kuasa keseluruhan mencecah 950 hp dan 900 Nm! Ia juga dipadankan dengan transmisi dual-klac tujuh-kelajuan.

TMJ-LaFerrari-3_BM

Dengan penjana kuasa yang luar biasa ini, ia membolehkan LaFerrari ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.0 saat, 0-200 km/j hanya di bawah 7.0 saat dan 0-300 km/j dalam 15 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km/j.

Dalam video ini, turut kelihatan Mercedes-Benz S 65 AMG Coupé milik adinda kepada TMJ iaitu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman. Tidak kurang hebat juga, S 65 AMG Coup ini dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 turbo-berkembar dengan kuasa sehingga 630 hp.