BMW_i8_Protonic_Red_Edition_BM_01

Sementara menantikan detik debaran Geneva Motor Show 2016, BMW telah mengumumkan perancangan untuk menjadikan pertunjukan automotif antarabangsa itu sebagai pentas mempertontonkan model baharu i8 Protonic Red Edition.

Walau pun belum bersedia mendedahkan perincian penuh dan menyebarkan banyak foto, namun BMW telah mengesahkan model ini ditampilkan dengan luaran unik Protonic Red termasuk sentuhan metalik Frozen Grey. Model ini juga bakal dilengkapi dengan rim aloi jejari-W 20-inci yang dicat dengan warna aluminium pekat dan Orbit Grey metalik.

Keunikan gayanya turut diserlahkan menerusi rekaan dalaman dengan kehadiran jahitan kontras merah, kekemasan gentian karbon dan sulaman “i8” pada perehat kepala. Ia juga menampilkan plat ambang pintu “Protonic Red Edition”, pemegang pintu gentian karbon dan tali pinggang keledar berwarna kelabu. Ciri lain yang dipersembahkan termasuklah perincian seramik hitam pada pemilih gear dan karpet lantai istimewa dengan jahitan tepi kulit dan jahitan kontra merah.

Seperti model standard, i8 Protonic Red Edition ini turut memilih penjana kuasa plug-in hybrid dengan gabungan enjin 1.5 liter TwinPower Turbo tiga-silinder, motor elektrik (131 hp) dan pek bateri lithium-ion. Gabungan itu mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 362 hp dan puncak tork 570 Nm yang membolehkan i8 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 249 km/j.

BMW i8 Protonic Red Edition ini bakal memasuki produksi pada Julai dan ia hanya boleh didapati dalam tempoh masa yang terhad. BMW akan mewar-warkan perincian lanjut mengenainya kelak.