Awal bulan ini, Datuk Ismet Suki, Presiden UMW Toyota Motor, telah mengesahkan Toyota Hilux baharu dijangka bakal tiba di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun 2016. Ia akan menawarkan enam pilihan varian iaitu 2.4 MT 4×4 single cab, 2.4 STD MT 4×4 Double cab, 2.4 MT 2×4 Double cab, 2.4G MT 4×4 Double cab, 2.4G AT 4×4 Double cab dan spesifikasi tertinggi 2.8G AT 4×4 Double cab.

Namun kami menjangkakan ia akan dilancarkan sedikit masa lagi memandangkan sudah ada pengedar yang berani mendedahkan harga jangkaannya bagi pasaran Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Berikut merupakan harga jangkaannya (termasuk GST dan insurans) seperti mana yang didedahkan:

2.4 MT 4×4 single cab – RM93,260 (Semenanjung)/RM94,720 (Sarawak)
2.4 STD MT 4×4 double cab -RM105,240 (Semenanjung)/RM106,650 (Sarawak)
2.4 MT 2×4 double cab – RM95,260 (Semenanjung)/RM96,700 (Sarawak)
2.4G MT 4×4 double cab – RM115,260 (Semenanjung)/RM116,690 (Sarawak)
2.4G AT 4×4 double cab – RM125,260 (Semenanjung)/RM126,530 (Sarawak)
2.8G AT 4×4 double cab – RM135,260 (Semenanjung)/RM136,120 (Sarawak)

HILUX_Exterior_12_BM

Seperti mana Hilux baharu yang telah diperkenalkan di Australia dan Thailand pada Mei 2015, ternyata Hilux versi Malaysia juga menampilkan dua pilihan enjin dari keluarga GD turbodiesel iaitu berkapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter. Kemungkinan besar ia juga dipadankan dengan kotak gear baharu manual enam-kelajuan dan automatik.

Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflektor dan lampu nyalaan siang (DRL) jenis mentol. Kesemua varian (kecuali single cab) turut didatangkan dengan lampu kabus hadapan dan bedliner.

Bagi bahagian kabinnya pula, ia turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat, kemasukan pintar dan sistem penghidup enjin bagi semua varian kecuali single cab. Namun tambahan elemen bagi 2.8G AT 4×4 iaitu kawalan iluminasi pada bahagian meter dan paparan berwarna TFT 4.2-inci.

Untuk sistem hiburan pula, ia menampilkan unit kepala 2-DIN dengan format MP3 dan sambungan AUX, USB untuk semua varian. Namun tambahan bagi 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab yang hadir dengan pemain DVD, skrin sesentuh 6.1-inci, sambungan Bluetooth, kad SD, dan kamera undur.

Bagi tempat duduk, single cab hanya dibaluti dengan material PVC, manakala fabrik dengan enam-cara pelarasan tempat duduk pemandu bagi 2.4 STD MT 4×4 double cab, 2.4 MT 2×4 double cab, dan 2.4G MT 4×4 double cab. Manakala untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab pula dilengkapi dengan kombinasi kulit dan lapan-cara pelarasan tempat duduk pemandu.

Untuk semua varian 4WD, ia dilengkapi dengan 4WD Transfer Switch dan Rear Differential Lock. Manakala Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) pula turut ada pada varian 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab.

Aspek keselamatan yang tertera menerusi spesifikasi yang didedahkan ini ialah semua varian menerima tiga beg udara (enam bagi varian tertinggi), ABS dengan EBD. Manakala Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Kawalan Mendaki (HAC) pula hanya untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab.

Melihat harga yang didedahkan ini, ia mengalami peningkatan antara RM10,000 dan RM15,000 berbanding model sebelum ini, di mana varian 2.8G berbeza RM20,000 lebih daripada model 3.0G sebelum ini, walau pun ia tidak didatangkan dengan elemen yang lebih tinggi.

GALERY: Toyota Hilux pasaran Australia