tcie-vietnam-07

Tan Chong Motor (TCM) yang mengendalikan jenama Nissan di Myanmar telah mengumumkan kilang pemasangan tempatan di negara berkenaan akan beroperasi pada tahun ini. Ia bakal memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Almera (atau turut dikenali sebagai Sunny di pasaran negara berkenaan) di kilang TCM sedia ada sebelum akan berpindah ke kilang baharu yang terletak di bahagian utara Yangon yang mempunyai keluasan sehingga 50 ekar.

Kilang baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018, bakal mempunyai sehingga 300 tenaga kerja dan mampu memasang sehingga 10,000 unit bagi produksi sepenuhnya. Sebelum beroperasi, seramai 200 pekerja dilatih terlebih dahulu di kilang TCM di Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan.

nissan-myanmar

Nissan dan Tan Chong juga akan meningkatkan dan mengembangkan keseluruhan rangkaian perniagaan di republik berkenaan. Jualan di Myanmar bermula pada tahun 2013 dengan model sedia ada di negara berkenaan termasuk X-Trail, Teana (Altima), Navara dan NV350 Urvan, serta produksi tempatan akan memasukkan Almera dalam barisannya.

Pada November tahun lalu, Tan Chong Motor (Myanmar) dan Nissan telah menandatangani perjanjian pengedaran selama lima tahun. Pada bulan yang sama, TCM turut mengumumkan akan mengembangkan pasaran di Myanmar dengan jumlah perlaburan sebanyak US$50 juta (RM211 juta) untuk tempoh tiga tahun akan datang.