Dalam temubual bersama paultan.org, Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan secara terus terang berhubung keadaan semasa Proton termasuk pelbagai isu, dan juga mendedahkan apa rancangan yang bakal dilakukan oleh pengeluar kereta nasioanl ini.

“Kami mengakui Proton tidak melakukannya dengan baik. Saya tidak mahu memberikan terlalu banyak alasan, tetapi ada banyak sebabnya,” ujar bekas Perdana Menteri ini.

Tun Mahathir turut mendakwa, syarikat ini memang banyak menerima pelbagai persepsi negatif di kalangan masyarakat terutamanya berkaitan dengan kualiti. Beliau menambah, aduan yang paling besar diterima ialah berhubung tingkap berkuasa yang sering bermasalah. Ia masih diperkatakan biar pun masalah ini tidak lagi berlaku. “Menyedari semua perkara ini, kami telah membuat pelbagai usaha untuk mengatasi masalah ini. Boleh dikatakan hampir kesemuanya dapat diatasi,” katanya lagi.

Manakala salah satu isu yang timbul mengenai Preve pula, Tun Mahathir berkata, pelancarannya dilakukan terlalu awal tanpa ujian yang betul-betul sempurna, malah berlaku masalah pada peringkat awal. “Hari ini Preve antara kereta yang popular, dan ia adalah kerana kami telah memperbetulkan banyak kesilapan dan kelemahan.”

2016-Proton-Perdana-full-media-preview-7

Selain daripada langkah untuk memperbaiki masalah yang timbul, Tun Mahathir juga berkata, syarikat ini “masih terganggu dengan persepsi yang buruk”, walau bagaimana pun Proton tetap mendengar aduan daripada orang ramai berhubung kritikan mereka dan akan membaikpulih isu yang timbul.

Menerusi laporan sebelum ini, Proton akan melancarkan sekurang-kurangnya tiga model baharu pada tahun ini, paling hampir ialah Perdana yang dijangka akan dilancarkan pada hujung Mac ini, disusuli oleh Persona dan Saga. Tun Mahathir turut berkata, beliau berharap orang ramai akan memandu uji model kereta ini, sambil menambah adalag tidak patut mengadilinya sebelum mencubanya terlebih dahulu.

Tagline baharu kami ialah ‘It’s in the Drive’. Jika kami tidak yakin dengannya, kami tidak akan berkata sedemikian. Kami patut katakan ia adalah murah, atau ia adalah kereta nasional. Tetapi kami katakan ia adalah bagus untuk dipandu,” kata Tun Mahathir lagi.

Sila tonton video di atas untuk temubual penuh bersama Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamad.