Teknologi baharu Ford bantu kurangkan kerosakan, tingkatkan pengendalian ketika melanggar lubang

ford-pothole-detection_BM

Lubang merupakan antara ‘musuh’ utama kenderaan yang dipandu di atas jalan raya, kerana ia kebiasaannya boleh merosakkan tayar, rim, komponen-komponen sistem suspensi dan kadang kala boleh juga merosakkan badan kereta itu sendiri. Ford ada jawapan untuk masalah ini di mana mereka telah mencipta satu teknologi mengawal penyerap hentak dengan komputer untuk meminimakan kerosakan dan meningkatkan kawalan kenderaan akibat permukaan jalan raya yang teruk.

Sistem penyerap hentak yang sentiasa dikawal yang akan dilengkapkan pada Ford Fusion 2017 (juga dikenali sebagai Mondeo di pasaran luar Amerika) versi V6 Sport tersebut, dikatakan boleh mengurangkan impak yang kuat akibat melalui jalan berlubang. Ia dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi tebatan lubang yang mengesan lubang pada jalan raya seterusnya menghalang tayar dari jatuh terus ke dalam dasar lubang.

Komputer pada kereta akan mengesan pelbagai isyarat yang diterima daripada 12 penderia beresolusi tinggi, dan membantu menyelaraskan penyerap hentak setiap dua milisaat untuk respons kenderaan terbaik dalam setiap situasi. Apabila sistem mengesan lubang yang akan dilalui, komputer pada kereta akan melaras penyerap hentak lebih pantas dari sekelip mata kepada tahap yang paling keras, jadi tayar kereta akan ‘tergantung’ dan tidak jatuh ke dasar lubang, dakwa Ford.

Disebabkan tayar dan roda tidak jatuh jauh ke dasar lubang, ia tidak akan menghentam tebing lubang yang bertentangan dengan begitu kuat. Suspensi belakang akan bertindak balas dengan lebih cepat, kerana kejadian yang terjadi pada bahagian hadapan akan memberikan isyarat pra-amaran kepada roda belakang sebelum ia sampai ke lubang tersebut.

Sistem tersebut telah diuji dan ditala di litar Romeo Proving Ground, Michigan dengan memandunya secara kasar melalui lubang berbentuk segi empat berkali-kali sehingga tidak terkira banyaknya untuk mengperhalusi perisian sistem tersebut. Proses ini juga telah dilakukan di litar ujian Ford Eropah yang terletak Lonmel, Belgium yang mempunyai lebih 100 permukaan ekstrem yang ditiru dari 25 buah negara, termasuk jalan berlubang sepanjang dua kilometer.

Di Malaysia, sistem ini mungkin hanya akan menyelesaikan separuh dari masalah pengguna jalan raya kerana di sini bukan hanya terdapat lubang, jalan yang diturap tidak rata dan juga manhole setinggi pembahagi jalan juga merupakan sebab utama rim bengkok dan tayar pecah.

GALERI: Ford Fusion 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required