Hondata – syarikat pengeluar kotak komputer enjin (ECU) berprestasi tinggi khas untuk kereta jenama Honda mendedahkan, Honda Civic EX Generasi ke-10 menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dari yang ditulis dalam brosur tanpa apa-apa pengubahsuaian apabila diuji di atas mesin dynometer.

Honda mendakwa, enjin 1.5 liter VTEC Turbo itu menghasilkan kuasa maksima 174 hp dan tork maksima 220 Nm, hampir sama dengan spesifikasi Civic 2016 spesifikasi Thailand. Namun agak mengejutkan setelah diuji sendiri oleh pihak Hondata di atas mesin dynometer, menyaksikan enjin tersebut berupaya menjana kuasa 177 hp dan tork 258 Nm – 3 hp lebih dan 38 Nm lebih berkuasa dari jumlah sebenar yang diberitahu Honda.

Ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan bacaan kuasa ini bercanggah. Pertama, ujian yang dijalankan oleh Honda untuk mengira kuasa enjin tersebut ialah ujian terus pada mesin dyno enjin tanpa unit transmisi. Pada ujian ini, Civic tersebut diuji dengan unit transmisi CVT, membuatkan bacaan yang tepat lebih sukar untuk diperoleh. Torque converter yang terpasang pada unit CVT mungkin boleh memberikan bacaan tork yang lebih tinggi.

Hondata juga menjalankan ujian prestasi di mana mereka menjalankan perlumbaan drag di antara Civic 2016 varian EX dan Civic 2015 varian Si (Si adalah varian tertinggi Civic spesifikasi US di mana ia dikenali sebagai varian berprestasi tinggi dan digemari sebagai platform ubahsuai menggantikan varian Type-R). Walaupun Civic Si lebih berkuasa dengan enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC yang mampu menjana 205 hp, tetapi dengan tork yang kuat dari Civic EX 2016 mampu menewaskan pencabarnya walaupun dalam mod Eco.

GALERI: Honda Civic 2016 spesifikasi Amerika Syarikat