Screen-Shot-2016-02-23-at-4.25.42-PM

Berita yang menarik, di mana iklan model MPV Toyota Sienta dari pengedar Toyota telah dipaparkan di Mudah.my, namun tidak mengesahkan adakah benar ia akan tiba di Malaysia. Dengan harga yang disebut iaitu RM89,880, iklan tersebut turut menyebut ia boleh didapati mulai Ogos ini.

Sienta bagi pasaran Malaysia mungkin didatangkan dari Indonesia, yang dilaporkan mula dijual pada April ini. Ia diproduksi di PT Toyota Motor Manufacturing di Karawang, Jawa Barat dengan jangkaan sebanyak 25,000 unit, bersama 80% pasaran domestik dan selebihnya untuk dieksport. Fasiliti tersebut merupakan hab pengeluaran kedua bagi MPV selepas Jepun.

Kenderaan yang dipasang di Indonesia ini dilaporkan memiliki sedikit kelainan berbanding model Jepun. Salah satunya, model pemasangan Indonesia itu akan didatangkan sama ada dengan pintu gelungsur manual- atau berkuasa elektrik.

Ia turut menampilkan dua corong penghawa dingin (tidak terdapat bagi model di Jepun) untuk mengatasi cuaca panas tropika. Selain itu, ia turut didatangkan dengan rekaan tempat duduk yang berbeza. Perbezaan ini bukan suatu yang luar biasa bagi Toyota di Indonesia, kerana model Rush dan Daihatsu Terios juga menampilkan beberapa kelainan berbanding versi Jepun, termasuklah memiliki jarak roda yang lebih panjang.

Sebelum ini, Sienta dilaporkan akan dijanakan oleh enjin 1NZ-FE 1.5 liter VVT-i dari Vios, yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS dan 141 Nm. Walau bagaimana pun, model facelift bagi Avanza kini turut menggunakan penjana kuasa baharu iaitu 2NR-FE dengan Dual VVT-i bersama penjimatan bahan api yang lebih baik serta kuasa 104 hp/139 Nm, maka terdapat kemungkinan Sienta juga akan menggunakan enjin tersebut.

Ia juga adalah berbeza dengan model Jepun, yang menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-FXE (109 PS/136 Nm) Atkinson dengan digerakkan secara elektrik VVT-iE untuk varian 2WS, 1NZ-FE bagi model 4WD (103 PS/132 Nm) atau 1.5 liter 1NZ-FKE (74 PS/111 Nm) yang dipadankan bersama motor elektrik untuk Sienta Hybrid. Manakala enjin petrol pula dipadankan dengan transmisi Super CVT-i, manakala penjana kuasa hibrid pula digabungkan dengan eCVT.

Ada juga perkhabaran yang mengatakan dijangkakan Sienta ini akan diletakkan antara Avanza dan Innova bagi barisan model Toyota pasaran tempatan.