pandu-uji-renault-captur-19

Walau pun telah diprebiu pada umum pada Julai tahun lalu, baru kini harganya diumumkan oleh TC Euro Cars (TCEC). Renault Captur, model crossover urban ini ditawarkan pada harga RM117,200 (di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia).

Sejak melakukan debut di peringkat global, Captur telah menjadi salah sebuah model Renault yang paling mendapat perhatian dan antara yang terlaris dalam segmen SUV bersaiz kecil di Eropah sejak tahun 2013.

Bergaya dan praktikal, Captur tampil dengan reka bentuk kompak, tetapi ruang dalamannya tetap luas dan versatil. Ciri-ciri tersebut digabungkan dengan gayaan ekspresif, posisi pemanduan dan jarak kelegaan tanah yang tinggi. Ini membuatkan Captur sememangnya sesuai untuk para pemandu urban moden pada hari ini yang mahukan kenderaan yang selamat dan efisien, selain mampu memenuhi gaya hidup aktif mereka.

Klik imej ini untuk besarkan

Captur dijanakan oleh enjin Tce 120 1.5 liter bersama sistem pengecas turbo. Dengan 120 hp dan 190 Nm pada 2,000 rpm yang disalurkan menerusi roda hadapan, ia turut dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan. Penjana kuasa ini membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 10.9 saat dan kelajuan maksimum yang dicatat pada 192 km/j. Malah crossover ini didakwa mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 5.4L/100km.

Buat setakat ini, Captur juga merupakan satu-satunya crossover di pasaran Malaysia yang menawarkan warna luaran dua tona. Ia bukan sahaja bergaya, malah menawarkan penampilan segar untuk pemandu yang mahu tampil menyerlah bersama sebuah kenderaan yang unik. Empat kombinasi warna yang ditawarkan ialah Arizona Orange/Diamond Black, Pacific Blue/Ivory, Beige/Diamond Black dan Ivory/Diamond Black.

Ia juga hadir bersama jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun daripada pengilang dan disokong sepenuhnya oleh Renault. Ini bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang mudah kerana kurang komplikasi dari segi terma dan syaratnya.

pandu-uji-renault-captur-27

Malah mulai 9 hingga 13 Mac ini, TCEC akan mengadakan siri jelajah di Lower Ground, Oval, pusat membeli-belah 1 Utama, Bandar Utama, Selangor untuk mempamerkan rangkaian lengkap kenderaan Renault Captur.

Selain zon Captur, siri jelajah itu juga akan menampilkan tiga zon tambahan yang mempamerkan model-model Renault yang lain termasuklah hot hatch Clio GT Line yang sporty dan bergaya. Sementara zon EV pula mengetengahkan kereta elektrik Renault Twizy dan Zoe.

Ikuti ulasan pandu uji Renault Captur untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.