BMW telah menyiarkan video Konsep BMW Vision Next 100, yang ditampilkan pada sambutan bersejarah 100 tahun BMW di Munich tempoh hari. Kereta dengan rekaan yang radikal tersebut menampilkan idea yang tidak terfikir sebelum ini, pada kedua-dua mod iaitu mod dengan pemandu dan mod dipandu secara automatik. Ia begitu asing dengan konsep ‘Ultimate Driving Machine‘ BMW sebelum ini yang menitik beratkan kepuasan memandu pada setiap kereta binaan mereka.

Video yang disiarkan tersebut memudahkan penerangan konsep dan falsafah disebalik pembinaan kereta berkenaan bermula dari proses rekaan hingga teknologi yang ditampilkan padanya, di mana BMW memandang jauh untuk 100 tahun berikut.

Vision Next 100 didominasi motif grafik berbentuk segi-tiga yang digelar ‘Alive Geometry‘ oleh BMW. 800 panel motif grafik tersebut dilengkapkan pada bahagian luaran dan dalaman Vision Next 100, yang membolehkan ia bergerak dan membentuk rupa berbeza untuk menghasilkan pelbagai fungsi berbeza seperti ruang roda yang bergerak seiring putaran stereng dan arah roda dan juga untuk memberikan amaran kepada pemandu berkenaan bahaya yang bakal dihadapi di hadapan seperti kereta dari arah bertentangan dan juga pejalan kaki yang mahu melintas jalan.

Kereta tersebut dikendalikan dalam dua mod berbeza iaitu mod Boost jika anda ingin memandu sendiri Vision Next 100, atau Ease yang membolehkan kereta tersebut bergerak tanpa pemandu. Dalam mod Boost, kedudukan tempat duduk pemandu berubah, konsol tengah dihadapkan lebih kepada pemandu. Paparan ‘head-up‘ (HUD) BMW menggunakan sepenuhnya cermin hadapan memberikan informasi seperti garisan pemanduan yang ideal, poin kedudukan stereng dan juga kelajuan. Bahaya pada jalan raya di dalam cuaca yang buruk juga turut dipaparkan berikutan kadar penglihatan yang terhad.

Suasana bahagian dalaman ketika mod Ease adalah berbeza. Roda stereng dan konsol tengah dijauhkan, tempat duduk dilaras pada sudut tertentu bagi membolehkan penumpang berhadapan muka antara satu sama lain dengan mudah. Paparan HUD pada cermin hadapan juga berubah fungsi menjadi paparan sistem infotaimen.