Bermaz Motor mengumumkan akan menaja sebanyak enam buah Mazda 3 untuk acara Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Acara yang mengangkat pembangunan pelbagai kemahiran anak muda dalam pelbagai bidang dari teknologi automobil sehingga rekaan lawan web tersebut, bakal berlangsung di Kuala Lumpur bermula 19 hingga 29 September tahun ini.
Pengedar sah Mazda di Malaysia tersebut akan menyediakan empat Mazda 3 generasi kedua kepada penganjur acara (gambar di atas) yang bakal digunakan sebagai kenderaan promosi untuk memberi pencerahan kepada masyarakat seluruh negara berkenaan pertandingan ini.
Untuk kegunaan di dalam pertandingan itu sendiri, Bermaz akan menyediakan dua unit Mazda 3 SkyActiv generasi terbaharu kepada penganjur acara. Kereta-kereta ini bakal digunakan untuk menguji kemahiran dan kebolehan para peserta peringkat akhir dalam sektor Teknologi Automobil.
Sembilan orang finalis bakal beraksi mewakili Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Mereka akan diuji dalam lima lapangan kemahiran berbeza iaitu sistem pengurusan enjin, transmisi, casis (stereng, suspensi dan brek), rombak rawat enjin, dan juga sistem elektrikal badan kenderaan. Finalis akan diuji selama tiga hari, dengan mengambil masa keseluruhan tiga jam dalam setiap lapangan kemahiran.
“Industri kini perlu untuk melihat kearah program pembangunan, bukan sahaja untuk keperluan mereka sendiri, tetapi keperluan kepada industri, khususnya dalam pembangunan modal insan,’ kata Datuk Ben Yeoh, Ketua Pegawai Esekutif Bermaz.
“Kami mempunyai objektif industri, tetapi untuk mencapainya, kami memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi dan kuat. Saya harap kerajaan akan terus memberikan penekanan dalam perkara ini.” tambah beliau, sebagai berkata berkenaan kepentingan program seperti Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.