Subaru-Forester-facelift-CKD-production-Malaysia-begins-e1456470731346

Subaru Forester facelift 2016 akan melakukan penampilan perdana di Bangkok International Motor Show minggu hadapan. Pertama kali ia dipertontonkan adalah di Tokyo Motor Show pada Oktober tahun lalu, dengan menampilkan perubahan yang agak sederhana bagi meningkatkan imej dan pengendaliannya.

Pengumuman yang dilakukan oleh Fuji Heavy Industries (FHI) beberapa minggu selepas syarikat ini mendedahkan Forester 2016 dipasang di kilang Tan Chong Segambut. Malah ia juga menjadi model Subaru kedua selepas XV yang diproduksi secara pemasangan tempatan.

Dijangka akan dijual di Malaysia menjelang suku kedua 2016, Forester CKD ini juga akan dipasarkan di Thailand dan Indonesia dalam waktu yang sama, menerusi rangkaian pengedaran yang dikendalikan oleh Tan Chong International.

Perubahan pada model facelift ini hanya sederhana, terdapat beberapa peningkatan elemen berbanding model sedia ada. Bagi luarannya, ia hanya diberi sedikit gaya yang berbeza pada gril hadapan dengan bampar baharu (2.0i-P dilihat mengekalkan bampar hadapan varian sebelum ini XT), lampu nyalaan siang berbentuk-C serta lampu belakang dan roda yang diberi penambah baikan.

Untuk bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen baharu bersama paparan pelbagai-informasi LCD berwarna. Selain itu, terdapat beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan material kulit. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi SD dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

Bagi sudut mekanikalnya, Forester turut menambah baik casis AWD dan NVH bagi pengendalian yang lebih dinamik dan selesa. Peningkatan ini termasuk memantapkan lagi casis, menggunakan kaca pintu yang lebih tebal dan menambah baik kotak gear Lineartronic CVT.

Di bawah hudnya, dijangkakan ia bakal memilih enjin petrol 2.0 liter aspirasi-natural (150 PS/198 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Pilihan pengecas turbo yang lebih berkuasa turut ditawarkan, dengan kuasa 240 PS dan tork 350 Nm.

GALERI: Subaru Forester facelift di Tokyo Motor Show 2015