2016-Subaru-Forester-Malaysia-price

Susulan pelancaran Subaru Forester 2016 bagi pasaran Asia Tenggara di Bangkok Motor Show 2016 semalam, Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Glenn Tann, telah memaklumkan kepada kami berkenaan harga SUV ini.

Menurutnya, model facelift Forester ini akan dilancarkan di Malaysia pada 14 April 2016, denga dua model CKD iaitu 2.0i dan 2.0i-P dan satu varian CBU dari Jepun iaitu 2.0 XT.

Model asas Forester 2.0i akan dijual pada harga RM144,160, diikuti dengan 2.0i-P pada RM153,700. Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin FB20 2.0 liter empat-silinder aspirasi-natural (150 PS/198 Nm).

Manakala model CBU sedia ada 2.0i-L pula berharga RM163,590 (model baharu 2.0i dan 2.0i-P lebih murah sebanyak RM19,430 dan RM9,890).

Bagi yang inginkan hamburan kuasa yang lebih, varian XT dengan enjin FA20 2.0 liter turbo empat-silinder turut kini ditawarkan dengan harga RM210,940, iaitu meningkat sebanyak RM2,830. Semua harga yang disebut adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan cukai jalan.

Kami juga diberitahu, terdapat diskaun istimewa sebanyak RM3,000 akan turut ditawarkan apabila SUV ini dilancarkan di Malaysia. Namun ia adalah untuk tempoh waktu yang terhad. Pilihan warna pula termasuk putih, hitam, perak, gangsa dan kelabu.

Forester baharu juga menerima penaiktarafan, termasuk X-Mode baharu yang sesuai untuk kegunaan off-road. Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, sistem pegas dan penyerap hentak baharu juga ditala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

Bagi aspek keselamatan pula, Forester baharu ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin dan sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA. Kelengkapan keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

2016-Subaru-Forester-2.0-XT-16

Lampu hadapan LED-penuh hanya ditawarkan untuk varian 2.0i-P dan XT sahaja bersama lampu kabus jenis mentol biasa. Lampu LED tersebut juga menampilkan ciri Lampu Hadapan Responsif Stereng di mana ia akan menyuluh mengikut arah putaran stereng. Varian 2.0i hanya dilengkapi dengan reflektor halogen berbanding DRL LED.

Roda aloi baharu juga sebahagian dari pakej facelift baharu Forester. Varian XT dipadankan dengan roda aloi bersaiz 18-inci dibaluti tayar 225/55R18, manakala dua lagi varian dibekalkan dengan roda aloi bersaiz 17-inci dibaluti tayar 225/60R17.

Kemasan dalaman menerima lebih banyak balutan kulit, plastik hitam berkilat dan juga panel krom pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka, liang penghawa dingin dan panel kawalan tengah. Balutan kulit adalah standard untuk semua varian. Kadar NVH juga telah dipertingkat selepas crossover ini dilengkapkan dengan material kedap bunyi tambahan dan tingkap yang lebih tebal.

Subaru Forester 2.0 XT 2016

Subaru Forester 2.0i-P 2016