Chevrolet Camaro versi pemanduan sebelah kanan kini sedang dipertimbangkan untuk pembinaan bagi memenuhi permintaan pasaran, termasuk Australia, di mana ia mungkin akan dipasarkan dibawah jenama Holden, lapor CarAdvice. Kenyataan tersebut telah disuarakan oleh Al Oppenheiser, ketua jurutera Chevrolet Camaro.
Kejayaan Ford Mustang, yang mempunyai senarai menunggu yang panjang di Australia, telah menarik minat syarikat tersebut. Ini bermaksud, pengenalan Camaro adalah perlu berdasarkan permintaan pasaran terhadap ‘Muscle Car‘ ikonik itu, untuk memastikan pengenalannya pada pasaran Australia dan pasaran lain. Keputusan akhir akan menyaksikan ia akan dibina sebagai sebuah unit yang boleh dipandu, menurut Oppenheiser.
Menekankan syarikat tersebut adalah sangat serius berkenaan hal ini, “Adakah (Australia dan UK) boleh untuk mengekalkannya? Kami sedang membuat kajian tentangnya,” kata beliau. “Saya memberitahu anda, kami sedang mengkaji pesaing kami (Ford) dan apa yang mereka lakukan: adakah mereka mencapai kejayaan? atau pun tidak?” tambah beliau lagi.
“Kami tahu apa yang perlu dibuat untuk melakukannya, kami sudahpun menghasilkan Cadillac versi pemanduan sebelah kanan, jadi ia tidak mustahil. Tetapi keputusan masih lagi belum dibuat,” Ujar Oppenheiser. Satu lagi kebimbangan yang diperhatikan syarikat tersebut adalah permintaan untuk Camaro pemanduan sebelah kanan boleh bertahan selama bertahun-tahun dan tidak hanya setahun.
“Adakah permintaan tersebut kerana semua orang mahu membelinya pada tahun pertama? Adakah mereka akan menjualnya semula dalam masa setahun dua? Kamu tidak tahu apa yang perlu dilakukan bukan?” tegas beliau.
“Kami telah mengalaminya dengan beberapa model pemanduan sebelah kiri di beberapa negara. Terutamanya pada Camaro generasi kelima, selepas filem Transformers ditayangkan, beberapa buah negara membawa 1000 unit dan menjual 1000 unit dalam masa seminggu. Kami menghantar lagi 1000 unit kemudian tetapi ia tidak dapat dijual dalam masa tiga tahun.” kata Oppenheiser.
Seperti juga permintaan untuk Camaro dengan enjin V8, “perkara sama juga seperti keputusan untuk membuat Camaro pemanduan sebelah kanan, adakah ia akan kekal dengan jumlah tertentu setiap tahun? jika ya, kami akan membuatnya,” kata beliau. “Anda perlu memastikan, kami di dalam perniagaan yang membuat keuntungan dan jika ia peluang perniagaan yang baik, kami akan lakukan,” simpul beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.