Pan-Borneo-Highway

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengesahkan Malaysia bakal berunding dengan Brunei untuk mencari kaedah sesuai bagi memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion.

Katanya, sekarang perjalanan darat dari Kuching ke Lawas dianggarkan 20 jam berikutan adanya pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan Malaysia dan Brunei, laporan Bernama.

“Kita akan bincang dengan Brunei, bagi cari kaedah untuk memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas iaitu antara 12 hingga 14 jam,” ujarnya tempoh hari dalam lawatannya ke Sarawak.

Kini terdapat empat pemeriksaan kastam dan imigresen di sempadan Malaysia-Brunei iaitu di Sungai Tujuh, Miri dan Kuala Belait, Brunei serta Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah, Brunei.

Najib berkata untuk perjalanan dari Kuching ke Miri, masa perjalanan akan dapat dipendekkan daripada 14 jam kepada sembilan jam kalau tidak berhenti-henti setelah projek lebuh raya itu siap kelak.

Perdana Menteri sekali lagi memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya di negeri ini.