lrt-depot

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengemukakan pelan bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Menurut laporan The Star, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Chow Kon Yeow, telah mengesahkan permohonan ini dikemukakan pada 29 Mac lalu untuk laluan LRT pertama di negeri tersebut.

Projek LRT ini adalah sebahagian daripada Pelan Utama Pengangkutan Penang (PTMP) bernilai RM27 bilion. Ia akan menghubungkan antara Komtar dan Bayan Lepas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memendekkan jarak perjalanan di antara dua kawasan terbabit.

Laluan sepanjang 30 km itu akan bermula di bahagian utara pulau berkenaan, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Penang dan berakhir di bahagian selatan pulau. Mengikut perancangan awal, terdapat 27 stesen LRT di sepanjang laluan, malah pada masa hadapan ia akan bersambung dengan laluan bagi monorel dan juga LRT lain.

Ketua Menteri Penang, Lim Guan End, berkata PTMP ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri berkenaan, di samping menambah baik pengangkutan awam lain termasuk teksi, bas, teksi air, feri, kereta kabel dan terbaharu sistem LRT/monorel.

“Rangkaian pengangkutan awam juga akan ditambah baik dan ia turut melibatkan laluan bagi basikal. Perubahan ini bukan setakat untuk pembangunan ekonomi negeri, ia juga bagi menambah baik Penang sebagai sebuah bandar tumpuan ramai,” ujarnya.