MINI Clubman F54 – bakal dilancarkan di Malaysia?

MINI Malaysia telah menyiarkan video di saluran YouTube mereka, bertajuk “Hit Chaser”. Video tersebut memaparkan kisah John O, penyanyi utama band tempatan Paperplane Pursuit, yang berjaya menempatkan lagu mereka di carta Billboard.

Walaupun dengan jalan cerita yang mengkagumkan, video tersebut tidak langsung mengundang apa-apa yang menarik perhatian peminat automatif. Sehinggalah dihujung video tersebut diakhiri dengan ayat “Presented by the new MINI Clubman,” yang boleh disimpulkan sebagai petunjuk MINI generasi F54 versi wagon sedang dalam perjalanannya untuk menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Diperkenalkan kepada dunia Jun tahun lalu, MINI Clubman terbaharu telah menggugurkan rekaan ‘suicide door‘ di bahagian kanan seperti yang terdapat pada generasi R55 dan digantikan dengan pintu bukaan konvensional pada kedua-dua belah. Ini menjadikan MINI Clubman F54 sebagai sebuah wagon enam-pintu, jika anda mengira dua buah pintu di bahagian kargo belakang sebagai unit yang berbeza.

MINI Clubman baharu ini juga lebih besar dan lebar berbanding model sebelumnya, diukur 4,253 mm panjang dan 1,800 mm lebar (R55, 3,945 mm panjang dan 1,685 mm lebar). Ia juga berketinggian 1,441 mm dengan jarak roda sepanjang 2,670 mm.

Pilihan enjin dijangka akan menyerupai hatchback F55/F56, di mana varian Cooper dibekalkan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 136 hp/220 Nm, manakala varian Cooper S pula dilengkapi enjin empat silinder turbo MINI TwinPower 2.0 liter petrol berkuasa 192 hp/280 Nm. MINI One Clubman pula dibekalkan enjin tiga-silinder yang dikurangkan kuasa, menjana 102 hp/180 Nm.

Enjin Cooper S dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan Steptronic automatik keluaran Aisin. Kotak gear tersebut juga boleh dijumpai dalam versi kedudukan menegak pada model BMW 2 Series (MINI pacuan hadapan, manakala 2 Series pacuan belakang) Active Tourer dan Gran Tourer, serta BMW X1 baharu. Enjin tiga-silinder pula akan dilengkapi dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

Untuk keselamatan, MINI Clubman dilengkapi dengan beg udara hadapan, sisi, dan tingkap, cagak Isofix dan juga sistem ESP. Sistem bantuan pemanduan juga disertakan yang terdiri dari paparan Head-Up, Bantuan Parkir, kamera undur, kawalan kelajuan aktif, amaran pelanggaran dan pejalan kaki dengan fungsi bantuan brek awalan, bantuan lampu tinggi dan juga pengesan tanda jalan.

Opsyen lain yang ditawarkan termasuklah lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, penghawa dingin dua zon, bumbung panorama kaca berkuasa elektrik, dan juga sistem alarm yang dilengkapi lampu status LED merah pada antena sirip yu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required