Tambah Litar Lumba Sekitar PerakSaya melihat apabila saya membuat ucapan tahniah kepada adik Khairul Idham Pawi dalam fb saya, saya dapati begitu banyak respon yang baik dari peminat bidang permotoron Berdasarkan maklumat dalam facebook ini, saya dapati ramai anak-anak muda yang meminta litar-litar lumba di kawasan masing-masing.Saya sudah meminta exco yang berkenaan Shahrul Yahya untuk mengenalpasti lokasi-lokasi lain yang boleh kita bina litar seperti ini.Kita juga dalam usaha membangunkan projek Litar Lumba di Spg. Pulai, yang melibatkan sukan F2 yang mungkin boleh digunakan sebagai tambahan untuk litar-litar yang akan kita bina di tempat-tempat lain sekitar negeri Perak.

Posted by Zambry Abd. Kadir on Wednesday, April 6, 2016

Bercakap menerusi sidang medianya baru-baru ini, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, mengesahkan yang kerajaan negeri tersebut akan membina lebih banyak litar selepas Litar Formula 2 Simpang Pulai siap dibina kelak. Pengumuman ini adalah respon beliau dari suara-suara peminat sukan bermotor di negeri terbabit setelah mengucapkan tahniah di laman Facebooknya keatas kejayaan anak jati Perak, Khairul Idham Pawi menjuarai perlumbaan Moto3 di Argentina baru-baru ini.

“Kejayaan Khairul Idham Pawi sebelum ini pada perlumbaan Moto3 di Argentina telah membuatkan rakyat Malaysia bangga. Kami bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau. Beliau boleh menjadi contoh yang baik bagi mereka yang berminat dalam sukan permotoran, sekiranya dijaga dan didik. Beliau boleh menjadi idola kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dalam sukan permotoran ini.” Kata Zambry

Menteri Besar Perak itu juga turut berkata semasa mengucapkan tahniah kepada Khairul dalam laman Facebook peribadinya, beliau dihujani dengan pelbagai komen positif dari peminat sukan permotoran, dan meminta lebih banyak litar dibina berdekatan dengan tempat mereka. “Perkara ini akan kami perincikan, dan saya telah bercakap dengan exco negeri, Datuk Shahrul, untuk mencari lebih banyak lagi lokasi untuk membina litar sedemikian untuk mereka,” tambah beliau.

“Saya juga telah menyatakan sebelum ini yang kami sedang membina litar di Simpang Pulai untuk siri kejuaraan F2 (Formula 2). Mungkin litar tersebut juga boleh digunakan untuk orang ramai sebagai tambahan pada litar lain yang akan dibina di Perak kelak, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah lumba haram,” simpul beliau.

Perak setakat ini terkenal dengan Litar Pulau Dato’ Sagor yang terletak di Kg. Gajah. Litar sepanjang 1.32 km itu menjadi pusat pembangunan sukan bermotor peringkat akar umbi dan turut menjadi pentas awal Khairul Idham Pawi untuk mengasah bakat sebelum digilap ke peringkat yang lebih tinggi.