GST Aishah

Walau pun dilihat daripada segi jualan yang kian merosot sebagai antara penyebab Proton dilanda kemelut, namun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) masih optimis dan mengatakan syarikat pengeluar kereta nasional ini mampu bangkit tidak lama lagi.

“Apatah lagi selepas kerjasama dengan pengeluar kereta Jepun, Suzuki Motor Corp, yang dilihat mampu membantu meningkatkan jualan Proton,” ujar presiden MAA Datuk Aishah Ahmad.

Beliau berkata MAA mahu melihat Proton meneruskan kelangsungannya dan berjaya, laporan Bernama.

Katanya lagi, keupayaan Proton untuk melakar semula kejayaan juga adalah baik untuk sektor automotif tempatan.

Aishah percaya jualan Proton akan meningkat dan mengembalikan jumlah vendor bagi kereta nasional itu sebaik ia mengambilkira isu mengenai mendapatkan produk yang sesuai melalui kerjasamanya dengan Suzuki.

Dalam masa yang sama, Aishah turut memberikan kenyataan mengenai jualan kenderaan pada tahun lalu. Katanya, sehingga Februari 2016, jumlah kenderaan yang dijual adalah sebanyak 82,465 unit berbanding 100,992 unit pada Februari 2015.

“Jumlah jualan yang rendah itu disebabkan terutamanya oleh keyakinan pengguna yang masih rendah berikutan ekonomi yang tidak menentu dan ringgit lemah,” katanya.

Katanya ia turut disebabkan kesukaran untuk mendapat pembiayaan bagi pembelian kereta baharu berikutan keengganan bank untuk memberi pinjaman kepada pembeli kereta.