Nissan-Skyline-most-iconic-Japanese-car-ever-Japfest-1_BM

Nama Nissan Skyline telah dinobatkan sebagai kereta Jepun paling ikonik menerusi tinjauan di laman sosial Japfest, acara terbesar yang meraikan budaya kereta Jepun di Eropah.

Sebelum bermulanya acara tersebut yang dijadualkan berlangsung di litar Silverstone,UK pada 24 April 2016, pihak penganjur acara ini telah melakukan tinjauan di laman sosialnya untuk mengenalpasti kereta buatan Jepun yang mana patut dinobatkan sebagai kereta Jepun paling ikonik sepanjang zaman.

Menerusi permainan video Playstation iaitu Gran Turismo, dan penampilannya di layar perak, nama Nissan Skyline sentiasa meniti dibibir peminat kereta sport Jepun bermula dari generasi pertama Hakosuka GT-R sehingga generasi Skyline yang dikenali sebagai ‘Godzilla’ bermula dari generasi GT-R R32 hingga R34. Penampilan Skyline GT-R R34 pada siri filem Fast and Furious juga antara faktor ia diangkat dengan gelaran tersebut.

“Nissan Skyline antara salah sebuah kereta yang melonjakkan kegilaan menala kereta buatan Jepun di UK, jadi tidak hairanlah ia dinamakan sebagai kereta berprestasi Jepun paling ikonik sepanjang zaman. Japfest adalah perayaan sebenar meraikan budaya ini, oleh itu, kami tidak sabar untuk meraikannya dalam suasana festival,” kata pengurus acara Katherine Chappell.

Hasil tinjauan tersebut menyaksikan Toyota Supra berada di tempat kedua dan diikuti oleh Subaru Impreza di tempat ketiga. Senarai penuh kereta yang dicalonkan untuk gelaran ini adalah:

  • Mitsubishi Lancer Evo (semua variant)
  • Toyota Supra
  • Honda Civic Type-R
  • Nissan Skyline (semua variant)
  • Toyota MR2
  • Honda Integra R
  • Mazda MX-5
  • Toyota GT
  • Toyota Corolla AE86
  • Honda S2000
  • Nissan 200SX
  • Datsun/Nissan Z cars
  • Subaru BR-Z
  • Mazda RX-7
  • Datsun 510
  • Mazda RX-8
  • Toyota Celica
  • Honda CRX
  • Mitsubishi 3000GT
  • Suzuki Swift Sport
  • Mitsubishi FTO

Tinjauan ini juga memberikan opsyen untuk menambah lagi model jika kereta yang ingin dipilih pengikut tidak berada dalam senarai.

Walau bagaimanapun, nama Skyline telah digugurkan oleh pihak Nissan untuk generasi GT-R seterusnya bermula pada model R35 GT-R. Nama Skyline kini hanya kekal pada generasi Skyline bermula dari model V35 yang menampilkan varian Sedan, Coupe dan juga Crossover, tanpa varian berprestasi tinggi sebenar.