Volkswagen Jetta CKD 14

Panggilan semula untuk model berkuasa diesel oleh pihak Volkswagen di Eropah telah ditangguhkan. Ini berkemungkinan kerana dakwaan penggunaan bahan api pada enjin yang telah ditala semula semasa panggilan semula berkenaan menjadi lebih tinggi dari sebelum ini, lapor Automotive News.

Panggilan semula tersebut bermula pada Januari lalu dimulakan dengan model Volkswagen Amarok yang dikuasakan dengan enjin diesel 2.0 liter. Talaan semula yang dilakukan semasa proses panggilan semula itu adalah untuk membuatkan enjin terbabit patuh pada undang-undang pencemaran alam. Proses tersebut juga dijalankan di seluruh Eropah dan meliputi kenderaan dari jenama Volkswagen, Audi, Skoda dan Seat.

Dengan penangguhan ini, gelombang fasa kedua panggilan semula tersebut yang akan membabitkan 160,000 unit Volkswagen Passat tidak dapat dijalankan. Jurucakap dari Volkswagen telah mengesahkan penangguhan tersebut. Walau bagaimanapun, dakwaan yang mengatakan penggunaan bahan api meningkat setelah perisian pada sistem enjin tersebut ditukar adalah spekulasi semata-mata.

Menurut jurucakap itu lagi, pemeriksaan masih lagi sedang berjalan sama ada perubahan yang dilakukan tersebut telah mengubah atau tidak penggunaan bahan api dan yang paling penting – emisi C02. “Kami jamin penggunaan bahan api dan emisi C02 adalah sama seperti sebelum ianya diubah,” jelas jurucakap terbabit.

diesel-pix-wm

Sementara itu, jurucakap terbabit turut menerangkan keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Persekutuan Jerman (KBA) yang mahu juruteknik Volkswagen digantikan dengan juruteknik bebas dipertengahan proses panggilan semula tersebut juga menyumbang kepada penangguhan ini. Ini untuk memastikan ketepatan semasa proses ujian, jelas beliau.

Panggilan semula berikutnya akan membabitkan model Passat dan 90,000 unit Audi A4, A5 dan Skoda Superb, kesemuanya dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter, dan akan diikuiti panggilan semula untuk Skoda selepas itu. Lebih kurang 2.5 juta unit kenderaan dengan enjin diesel Euro 5 2.0-, 1.6-, dan 1.2- liter di Jerman yang terbabit dengan panggilan semula ini.

Kesemua enjin 2.0 liter dan 1.2 liter akan menerima perisian kotak komputer baharu yang akan ditukar dalam masa setengah jam untuk sebuah kenderaan. Untuk enjin diesel 1.6 liter pula, perisian baharu tersebut turut disertakan dengan sekeping jaring untuk menyelia semula kemasukan udara. Proses tersebut akan mengambil masa kurang dari sejam.

Panggilan semula ini akan disambung semula ke 27 negeri dibawah Kesatuan Eropah sebaik sahaja menerima kelulusan dari KBA. Volkswagen mensasarkan untuk membuat 13 peringkat sesi panggilan semula tahun ini, menurut jurucakap itu lagi.