Dua lakaran Datsun redi-GO terbaharu telah disiarkan sebelum pelancaran peringkat global model kompak tersebut di India. Dijadualkan membuat penampilan sulungnya di Delhi pada 14 April ini, redi-GO akan menjadi model produksi kedua yang dibina berasaskan platform CMF-A hasil kerjasama Renault dan Nissan – dimana model pertama dibina dari platform tersebut adalah Renault Kwid.
Berkongsi beberapa komponen mekanikal dengan Kwid, lakaran terbaharu ini menampilkan redi-GO mempunyai rekaan luarannya yang unik dan tersendiri, hampir seiras dengan versi konsepnya yang didedahkan juga di Delhi dua tahun lalu. Selain dari beberapa sedikit perubahan yang dilakukan, gril hadapan, lampu hadapan, lampu belakang, bampar dan rekabentuk badan keseluruhan adalah hampir sama seperti yang ditampilkan pada versi konsepnya.
Menurut IndianAutosBlog, redi-GO akan dijual lebih murah dari Renault Kwid di India di mana harga Kwid bermula dari INR256,968 (RM15k). Redi-Go juga didakwa bakal dikuasakan dengan penjana yang sama seperti Kwid iaitu enjin petrol 800 cc tiga-silinder berkuasa 53 hp/74 Nm dan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.
Enjin petrol 1.0 liter dengan kotak gear automated manual transmission (AMT) dari Kwid turut dijangka akan dipadankan pada redi-GO. Beberapa laporan juga menyebut enjin diesel 1.0 liter tiga-silinder sedang dibangunkan dan akan dipasang pada redi-GO untuk peringkat seterusnya.
GALERI: Konsep Datsun redi-GO
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.