Fiat Mobi-74

Fiat Brazil telah melancarkan model segmen-A terbaharu mereka, Fiat Mobi – saingan terdekat untuk Renault Kwid. Ia ditawarkan dalam enam varian berbeza iaitu Easy, Easy On, Like, Like On, Way dan Way On. Harga bermula dari R$31,900 hingga R$43,800 (RM35k-RM49k).

Dimensi Mobi diukur dengan 3,566 mm panjang, 1,633 mm lebar (3,596mm panjang dan 1,685 mm lebar untuk varian Way dan Way On) dan 1,490 mm hingga 1,550 mm tinggi – bergantung pada varian. Hatchback kompak ini menampilkan kapasiti kargo berkapasiti antara 213 hingga 235 liter bergantung kepada varian.

Varian asas, Mobi Easy dilengkapi dengan bampar yang diwarnakan sama dengan warna badan, isyarat berhenti kecemasan, amaran penukaran laluan dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat. Model Easy On pula dilengkapi dengan tambahan penghawa dingin, stereng kuasa, dan juga larasan ketinggian roda stereng. Varian ini dipadankan dengan roda besi 13-inci dan dibaluti tayar bersaiz 165/70R13.

Untuk Mobi Like pula, ia ditambah dengan gril hadapan hitam berkilat, pembuka pintu dan cermin sisi yang diwarnakan dengan warna badan. Pada bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan tingkap dan kunci berkuasa, komputer perjalanan, kunci dengan alat kawalan jauh, dan juga penggilap serta antikabut pada cermin belakang.

Sementara itu untuk varian Like On, ia menerima lampu kabus, penderia parkir, cermin sisi larasan berkuasa dengan lampu isyarat membelok, roda stereng dengan butang kawalan, radio, sokongan pada kaki kiri pemandu dan juga pemegang cawan.

Varian Way dan Way On pula, ia dilengkapkan dengan kemasan plastik hitam pada semua ruang roda dan juga satu set landasan bumbung. Selain dari varian Easy dan Easy On, kesemua varian dalam barisan model Mobi dilengkapi dengan roda bersaiz 14-inci dibaluti tayar 175/65R14.

Mobi ditimbang dengan hanya berat bersih antara 907 kg hingga 966 kg bergantung kepada varian. Ia dijana oleh enjin bahan api-pelbagai yang membolehkan ia beroperasi menggunakan petrol atau ethanol. Enjin 1.0 liter empat silinder tersebut akan menghasilkan kuasa 73 hp dan tork 93 Nm jika menggunakan petrol, manakala jika diisi dengan ethanol pula ia akan menghasilkan kuasa 75 hp dan tork 97 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan memacu roda hadapan. Mobi mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 14.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 153 km/j.