2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

Kerajaan akan meneruskan rancangan berkenaan cadangan menutup sebahagian jalan raya bagi membolehkan Mat Moto berlumba walaupun mendapat banyak tentangan dan kritikan berhubung perkara tersebut menurut laporan The Sun.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata kementeriannnya sedang melihat semua kemungkinan untuk memastikan acara yang dirancang tersebut dapat diadakan dengan sebaiknya dan berjaya.

“Kami turut mengumpulkan maklumat dari semua komen dan maklum balas orang ramai berkenaan acara ini untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini atau mendatangkan kerosakan terhadap mana-mana infrastruktur,” kata beliau kepada wartawan.

PH01_110109_MAT_REMPIT

Timbalan Menteri berkenaan turut menambah pihak berkuasa tempatan di bawah kementeriannya akan menjalankan kajian dan perbincangan untuk mengenal pasti lokasi dan masa terbaik untuk menjalankan acara tersebut.

“Penutupan jalan berkenaan akan melibatkan Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – tetapi masa dan lokasi akan ditentukan berdasarkan hasil kajian yang dibuat oleh pihak berkuasa tersebut,” jelas beliau.

Kenyataan ini diberikan oleh Loga Bala setelah ditanya berkenaan cadangan yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Februari lalu untuk menutup jalan tertentu di tengah Bandaraya Kuala Lumpur bagi membenarkan Mat Moto berlumba dalam usaha mengekang perlumbaan haram yang dilakukan dalam kawasan perumahan dan komersial.

Tengku Adnan menyatakan usaha tersebut juga boleh mengekang masalah perjudian haram yang turut dijalankan semasa perlumbaan haram tersebut berlangsung dimana penganjur menyediakan habuan gadis sebagai ganjaran kepada pemenang. Cadangan berkenaan menerima kritikan hebat dari orang ramai setelah diumumkan dengan sebahagian besar daripada mereka menganggap kerajaan mahu menghalalkan aktiviti haram.