Renault baru-baru ini telah menunjukkan teknologi pemanduan automatik pada Renault Espace mereka kepada sekumpulan pembuat polisi di Eropah, termasuk 28 menteri pengangkutan dari Kesatuan Eropah (EU), di mana kesemua mereka berkumpul di Amsterdam untuk menandatangani Deklarasi Amsterdam yang mahukan kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri.

Tiga unit demonstrasi Renault Espace Pemanduan Automatik didedahkan. Menurut Renault, unit-unit demonstrasi tersebut telah diuji berarus jam dalam trafik biasa seluruh Eropah. Ia menggunakan enam penderia berbeza termasuk penderia ultrasonic, kamera digital, radar sudut, pengimbas laser, kamera trifocal dan radar hadapan jarak-jauh untuk mengesan persekitaran kenderaan.

“Projek kenderaan pemanduan automatik kami menyasarkan untuk membolehkan pelanggan menyerahkan sepenuhnya pemanduan kepada kenderaan, yang digelar ‘eyes-off‘ dan ‘hands-off‘. Untuk eyes-off, pemandu tidak perlu lagi untuk memastikan mata mereka memerhatikan jalan. Untuk hands-off pula pemandu tidak perlu lagi meletakkan tangan mereka pada roda stereng. Oleh itu, pemandu boleh melakukan perkara lain selain memandu,” jelas Eric Debernard, pengurus projek inovatif – pemanduan automatik.

“Dalam jangka masa pendek, Renault akan menawarkan kenderaan dengan mod pemanduan automatik pada lebuhraya dengan trafik yang sesak. Dalam jangka masa sederhana, kenderaan seperti ini akan boleh beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi dan mampu mengubah lorong secara automatik,” ujar pengulas pada video tersebut.

Sementara itu, Renault mengumumkan mereka komited untuk memperkenalkan kenderaan pemanduan automatik versi mereka menjelang 2020. Jenama tersebut bercita-cita untuk menjadi pengeluar pertama yang membawa teknologi “eyes-off/hands-off” kepada kenderaan arus perdana dengan harga yang mampu-milik. Ini adalah sebahagian komitmen mereka untuk mengembangkan teknologi keselamatan.