Johor-road-Bernama

Kerajaan negeri Johor telah melebarkan jalan kampung lebih dari 850 kilometer di negeri terbabit sejak tahun 2012 hingga tahun lalu, menurut laporan Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohamed dilaporkan berkata, sejumlah RM81.84 juta dibelanjakan untuk melebarkan jalan kampung sepanjang 851.36 kilometer bermula tahun 2012 hingga 2015. Tambah beliau lagi, dalam tempoh tersebut juga kerjaan negeri telah membina jalan kampung baharu sepanjang 96.39 kilometer.

“Dalam tahun 2015 sahaja sepanjang 319.32 kilometer jalan dilebar kepada 4.5 meter daripada 3.5 meter,” katanya menjawab soalan lisan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hasni turut menambah kerajaan negeri melalui Infra Desa juga telah mengemukakan perancangan bagi tahun ini untuk melebarkan jalan sepanjang 268.66 kilometer dan menurap semula jalan sepanjang 89.3 kilometer.