dev1olnibkvgnioymgi3-e1459485922738_BM

Walaupun Tesla Model 3 menerima tempahan yang sangat memberangsangkan, CEO Fiat Chrysler Automobile (FCA) Sergio Marchionne bersifat skeptikal terhadap kebolehan model itu membuat keuntungan, lapor Automotive News. Bos FCA tersebut juga dilaporkan berkata, syarikatnya turut akan membina model yang sama dalam masa 12 bulan jika Tesla membuktikan kereta tersebut mampu menghasilkan keuntungan yang besar dan jangkaannya itu salah.

“Saya tidak terperanjat dengan jumlah tempahan yang tinggi tetapi pembinaan dan penghantarannya juga haruslah menguntungkan,” kata Marchionne. “Jika (Tesla) dapat menunjukkan kepada saya yang kereta tersebut akan memberikan keuntungan pada harga sedemikian, saya akan meniru formula tersebut, kemudian menambah ciri-ciri rekaan Itali padanya dan membawanya ke pasaran dalam masa 12 bulan.”

Tesla Model 3 merupakan kereta empat-pintu elektrik sepenuhnya yang dilancarkan awal April lalu pada harga USD$35,000 (RM138k). Ia merupakan Tesla yang paling mampu milik pernah dihasilkan dan dibuktikan diterima dengan sangat baik dalam pasaran melalui tempahan yang dilaporkan mencecah 115,000 unit dalam masa 24 jam setelah tempahannya dibuka.

Ketika ditanya adakah FCA akan lewat menyertai pasaran tersebut, Marchionne berkata, “adalah lebih bagus lambat daripada tiada.” CEO FCA itu dikenali secara peribadi sebagai seorang yang tidak sukakan kenderaan elektrik. Walaupun syarikatnya menghasilkan dan menjual kereta elektrik sepenuhnya Fiat 500e, Marchionne dilaporkan mendedahkan kepada umum supaya tidak membelinya kerana setiap unit kereta tersebut menyebabkan kerugian kasar sekitar USD$14,000 (RM55k) pada syarikatnya.