Triumph Bonneville T120, T120 Black, Thruxton R 2016 dilancar di Malaysia – harga bermula RM79,900

2016 Triumph T120 and T120 Black - 2

Fastbikes, pengedar rasmi Triumph di Malaysia telah melancarkan Triumph Bonneville T120, T120 Black – kedua-duanya di jual dengan harga RM79,900 dan Thruxton R yang di jual pada harga RM91,900. Ketiga-tiga buah motosikal dengan gaya retro ini menampilkan enjin penyejukan cecair Triumph baharu, yang direka untuk memberikan lebih tork dan pada masa yang sama memenuhi standard emisi baharu yang lebih ketat.

Enjin 1,200 cc baharu tersebut dibina dengan konfigurasi blok berkembar sebaris, penyejukkan cecair, aci-sesondol tunggal, lapan injap dengan aci engkol 270-darjah. Ia disuapkan dengan campuran bahan api dan udara menerusi sistem pancitan bahan api pelbagai titik berturutan (multi-point sequential).

Enjin yang dipasang pada varian T120 menghasilkan 79 hp dan tork 105 Nm pada takat 3,100 rpm – 54% lebih tork daripada generasi T100 sebelum ini. Enjin yang dilengkapi pada Thruxton R pula mampu menjana 98 hp dan tork sejumlah 112 Nm pada takat 4,250 rpm – 62% lebih tork daripada versi Thruxton R tahun lalu.

Bonneville 2016 menampilkan rekaan yang sangat retro, dengan beberapa bahagian yang boleh mengaitkannya terus dengan Bonneveille 1959 asal. Sistem pancitan bahan api elektronik motosikal ini dilengkapi unit throttle body yang direka menyerupai rekabentuk karburator Amal untuk menaikkan imej old-schoolnya.

Kesemua varian dilengkapi dengan sistem pendikit tanpa kabel, ABS dan Kawalan Cengkaman. Untuk kedua-dua varian T120, ia dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu ‘Road’ dan ‘Rain’, manakala untuk model Thruxton R, ia ditambah dengan mod ‘Sport’. Model Bonneville juga dilengkapi dengan sistem brek Nissin pada bahagian hadapan dan belakang, sementara Thruxton R pula dilengkapi dengan brek Brembo Monoblocs pada bahagian hadapan.

Bonneville T120 menerapkan lebih kemasan saduran krom ala-British,berbeza dengan T120 Black yang menampilkan imej yang lebih garang menampilkan ekzos, enjin dan jejari roda yang diberikan warna hitam. Thruxton R pula direka untuk menyerlahkan rupa berkonsep cafe racer, dengan bar hendal yang lebih rendah serta tangki bahan api dan tali tangki direka dengan gaya Monza. Motosikal ini juga tampil dengan tempat duduk tunggal.

Thruxton R turut didatangkan standard dengan komponen sistem suspensi 43 mm boleh laras sepenuhnya dari Showa dengan sepit udang ‘big piston’ dihadapan dan unit suspensi penyerap hentak berkembar boleh laras sepenuhnya dari Ohlins di bahaggian belakang. Kombinasi ini membolehkan sistem suspensi Thruxton R boleh bergerak pada jarak 120 mm. Untuk model 120T, kesemua komponen suspensinya adalah dibekalkan oleh pihak Kayaba.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, Triumph Bonneville T120 dan T120 Black dijual pada harga bermula RM79,900, manakala untuk Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900. T120 hadir dengan warna Jet Black, Cinder Red, Cranberry Red/Aluminium Silver dan kombinasi Jet Black/Pure White. Thruxton R pula boleh dipilih sama ada dengan warna Merah atau Perak.

GALERI: 2016 Triumph Bonneville T120 dan T120 Black


GALERI: 2016 Triumph Thruxton R

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required