Pirelli telah melancarkan barisan tayar berprestasi terbaharu mereka di Shanghai. Tayar yang diberi nama Pirelli Dragon Sport tersebut dibina khas dan hanya dipasarkan untuk pasaran Asia Tenggara sahaja, lapor CarAdvice.
Barisan siri Dragon Sport ini diproduksi dengan 16 saiz berbeza bermula dari 17-inci hingga 20-inci dengan pilihan lebar bermula 215 mm hingga 275 mm dan dibina sepenuhnya menggunakan kompaun silika. Pirelli mendakwa tayar ini menampilkan ciri yang ringan serta memberikan kadar rintangan golekkan yang rendah dan memfokuskan penggunaan pemanduan yang sporty tanpa mengorbankan aspek keselesaan.
Tayar ini menampilkan alur bunga melintang untuk menambah prestasi cengkaman ketika membrek bersama empat alur bunga tayar yang lebih lebar untuk menyisihkan air dan rekaan bahu tayar yang lebih tersendiri. Rekaan keseluruhan bunga tayar ini juga mempunyai kadar hubungan dengan jalan yang lebih luas, seterusnya memberikan prestasi keseluruhan yang lebih baik.
Semasa proses pembinaan tayar ini, kumpulan jurutera Pirelli turut menguji sekali tayar keluaran pesaing terdekat mereka. Hasil ujian tersebut menunjukkan prestasi ketika membrek dan pengendalian dalam keadaan kering Dragon Sport meningkat kepada 5%, manakala pengendalian ketika basah menunjukkan peningkatan kepada 10%.
Tayar-tayar pesaing yang turut diuji tersebut adalah Michelin Pilot Sport 3, Bridgestone Potenza RE003 dan lain-lain. Pirelli Dragon Sport diproduksi di kilang Pirelli Yanzhou, China. Pengeluar tayar dari Itali tersebut menjangkakan akan mengembangkan lagi barisan Dragon Sport ini pada beberapa bulan akan datang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.