Setelah memperkenal trak F-150 2017 versi Raptor, Ford bakal memperkenalkan pula F-150 2017 untuk versi standard. Varian ini turut dibekalkan dengan enjin petrol V6 3.5 liter EcoBoost generasi kedua, dan dipadankan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan baharu.
Kuasa enjin generasi terbaharu ini kekal tidak berubah pada 365 hp. Tetapi ia menghasilkan 40 Nm lebih tork menjadikan jumlah keseluruhan tork trak ini adalah 610 Nm. Menurut Ford, enjin ini memberikan tork terbaik dalam kelas V6 berbanding pesaingnya sama ada disuapkan dengan petrol atau diesel.
Enjin baharu ini menampilkan penggunaan sistem pemancit bahan api berkembar. Sistem ini memerlukan dua unit pemancit bahan api untuk setiap silinder enjin di mana sebuah diletakkan pada liang kemasukan udara dan sebuah lagi diletakkan terus di kebuk pembakaran sebagai pemancit sistem bahan api terus.
Unit pengecas turbo berkembar enjin ini juga mendapat tingkat taraf dengan roda turbinnya kini dibina menggunakan aloi super Mar-M-247 yang memberikan lebih tekanan boost di mana boost tersebut kini dikawal dengan wastegate elektronik. Padanan pengecas turbo baharu dan sistem pancitan bahan api yang ditingkat taraf ini menghasilkan enjin yang lebih responsif.
Enjin ini juga dilengkapi dengan aci sesondol jenis hollow (mempunyai ruang kosong pada bahagian tengah aci sesondol tersebut) yang bukan sahaja lebih ringan 1.8 kg, malah mempunyai binaan yang lebih kuat. Ia turut dilengkapi dengan injap kemasukan, injap ekzos dan pelaras kelegaan injap yang lebih tahan lama. Sistem auto start-stop dipadankan sebagai ciri standard untuk enjin ini bagi membolehkan penggunaan bahan api yang lebih cekap.
Kesemu kuasa dari enjin akan dialirkan ke roda menerusi kotak gear 10-kelajuan automatik buatan Ford baharu, menggantikan kotak gear enam kelajuan pada model sebelum ini. Transmisi yang mempunyai tiga gear overdrive ini menawarkan nisbah penukaran gear yang lebih luas seterusnya memberikan pecutan dan pretasi yang lebih baik. Ia juga turut membantu dari segi kecekapan penggunaan bahan api, yang juga didakwa Ford sebagai terbaik dalam kelasnya.
Kotak gear ini turut menampilkan bahan binaan yang ringan. Ford mendakwa, ia merupakan kotak gear pertama seumpamanya di dunia yang tidak mempunyai sebarang komponen diperbuat dari besi tuang, sebaliknya hanya menggunakan bahan terkini dan bahan aloi. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan torque converter/klac turbin yang dibina secara bersepadu, menjadikan ia hampir sekilogram lebih ringan.
Pemetaan pada kotak gear 10-kelajuan automatik ini dibuat berdasarkan shift logic yang lebih bijak, jadi pemilik F-150 dapat menggunakan mod tow/haul dengan lebih yakin. Sebuah pam elektrik bersepadu disertakan pada sistem auto start-stop bagi membolehkan enjin dihidupkan semula melalui sistem tersebut dengan lebih lancar dan memperbaiki kadar efisien pemanduan.
Setakat ini, Ford hanya menyiarkan imej F-150 Raptor manakala imej trak F-150 versi standard masih belum disiarkan. Ia dijangka hadir dengan pelbagai bentuk badan, tetapi dengan imej yang kurang agresif berbanding versi Raptor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.