Teknologi anjakan silinder bervariasi sebelum ini sudahpun digunakan oleh beberapa pengeluar seperti Mitsubishi dengan teknologi Mivec-MD dan Volkswagen dengan teknologi ACT. Teknologi ini membolehkan, misalnya enjin empat silinder berkapasiti 2.0 liter (2.0 liter dibahagikan kepada empat silinder bermaksud setiap silinder mempunyai kapasiti 0.5 liter atau 500 cc) berubah menjadi enjin berkapasiti 1.0 liter dengan cara tidak menghidupkan dua silinder pada waktu-waktu tertentu untuk mencapai penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

Menurut laporan AutoGuide, Honda kini sedang membangunkan enjin dengan anjakan silinder bervariasi sebenar yang boleh mengubah strok setiap omboh untuk menghasilkan kapasiti enjin yang berbeza-beza.

Rekaan yang ditemui pada pangkalan data pejabat paten Jepun yang difailkan oleh Honda ini menunjukkan kapasiti setiap silinder boleh berubah-ubah. Tidak seperti teknologi sedia ada, enjin empat silinder sebaris Honda ini mampu berubah sehingga 15 kapasiti berbeza dengan perbezaan yang sangat sedikit untuk setiap kapasiti tersebut. Ia dilakukan dengan mengubah strok perjalanan setiap omboh dalam silinder sama ada menjadi lebih panjang (kapasiti menjadi lebih besar) atau lebih pendek (kapasiti menjadi lebih kecil). Paten yang difailkan tersebut juga mengandungi rekaan enjin bentangan dua silinder dan tiga silinder sebaris serta enjin V6 diterapkan dengan konsep yang sama.

Teknologi ini bukan sahaja mampu menjimatkan bahan api, ia juga mampu meningkatkan kecekapan sesebuah enjin itu. Untuk rekod, Honda sudah pun memperkenalkan enjin konsep Extended Expansion Linkage (EXLink) pada tahun 2001 dan versi produksi enjin tersebut telah digunakan untuk memproduksi unit generator untuk kegunaan rumah pada tahun 2011. Enjin pada unit generator tersebut menggunkan konsep yang sama pada paten terbaharu Honda ini, yang boleh memanjangkan strok kemasukan, membolehkan ia menjana lebih kuasa tetapi dengan penggunaan bahan api yang kurang.