SPYSHOT: Kia Sorento generasi ketiga diuji di M’sia

2016-Kia-Sorento-Malaysia-spotted-2_BM

Kia Sorento generasi ketiga telah dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia, menandakan SUV tujuh-tempat duduk berkenaan akan dilancarkan di sini tidak lama lagi. Dalam laporan kami sebelum ini, sumber dari Kia Malaysia menyatakan Sorento serba baharu tersebut akan dilancarkan bulan ini.

Unit yang dilihat sedang diuji berkenaan menampilkan lampu hadapan projektor berkembar dilengkapi dengan lampu nyalaan siang bina dalam. Gril hadapan juga dilihat dikelilingi kemasan krom, manakala setiap sisi bampar hadapan dilengkapi dengan lampu kabus. Bahagian sisi SUV ini pula menampilkan kemasan krom yang minima serta roda aloi lima jejari berdiameter 18-inci.

Seperti yang disebut sebelum ini, Sorento baharu akan dikuasakan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin diesel 2.2L CRDi dan enjin petrol 2.4L. Versi pacuan empat roda sudah pasti ditawarkan berdasarkan emblem ‘AWD’ yang kelihatan pada unit yang diuji tersebut, tetapi tidak dapat dipastikan ia akan dipadankan pada varian diesel atau petrol. Sejumlah tiga varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang kami jangkakan terdiri dari varian standard petrol, varian tinggi-petrol dan varian tertinggi diesel.

Kia Sorento generasi ketiga diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Ogos 2014. SUV ini diukur dengan dimensi yang sangat besar iaitu 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm. Jika diambil Honda CR-V sebagai kayu ukur, Sorento adalah 190 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan mempunyai jarak roda 160 mm lebih panjang.

Sorento baharu ini juga menampilkan bahagian dalaman yang lebih premium dan bergaya hasil rekaan Kia Eropah serta dilengkapi dengan skrin TFT LCD bersaiz tujuh inci pada papan instrumen dan juga brek parkir elektronik. Naza Kia juga dijangka akan menawarkan kabin dengan kemasan hitam sepenuhnya untuk Sorento pasaran Malaysia.

Sorento telah menerima penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian keselamatan ANCAP dengan memperolehi markah 36.62 daripada markah penuh yang berjumlah 37 markah, dicatatkan sebagai antara markah yang tertinggi pada 2015. Perincian lanjut berkenaan SUV tujuh-tempat duduk ini masih lagi belum diumumkan dan dijangka hanya boleh diperolehi semasa pelancarannya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required