Navara-Triton-2016

Selepas perjanjian pembelian saham Mitsubishi sebanyak 34% oleh Nissan, dijangkakan lebih banyak usaha sama antara kedua-dua jenama tersebut bakal dilaksanakan. Laman portal dari Australia, CarAdvice, melaporkan antaranya Nissan Navara dan Mitsubishi Triton bagi generasi seterusnya akan dibina dengan menggunakan platform yang sama.

Pengerusi dan CEO Nissan Carlos Ghosn menjelaskan, ia merupakan sebahagian daripada perancangan utama di bawah perjanjian usaha sama tersebut, di mana kedua-dua trak pikap terbabit akan berkongsi senibina yang sama, tetapi akan dibangunkan secara berasingan bagi menepati profil pembeli yang berlainan.

“Kebarangkalian yang agak besar di mana kami akan menggunakan platform yang sama, tetapi kami akan membangunkannya secara berasingan kerana pelanggan juga tidak sama,” ujarnya. “Berbanding menggunakan platform yang berbeza, kami lebih berminat menggunakan platform yang sama tetapi produk yang berbeza. Malah kos bagi pembangunannya juga dijangka lebih rendah.”

Nissan-Mitsubishi

Buat masa ini, belum ada perincian mengenai platform atau penjana kuasanya. Walau bagaimana pun, memandangkan NP300 Navara dan Triton generasi terbaharu baru sahaja dilancarkan pada tahun 2014, maka generasi akan datang tidak akan muncul dalam masa terdekat ini sehingga 2020.

Malah kedua-dua pikap ini juga telah mempunyai inisiatif perkongsian platform yang tersendiri. NP300 Navara adalah bentuk asas bagi trak akan datang oleh Mercedes-Benz dan rakan sekutunya Renault, di mana ia telah dipertontonkan menerusi model konsep Renault Alaskan. Sementara Triton sedia ada pula telah dilancarkan dengan menggunakan logo lain ((rebadged) iaitu Fiat Fullback di Amerika Selatan.

Ini bukanlah kali pertama kedua-dua syarikat ini mengumumkan perancangan untuk perkongsian platform bagi Nissan Navara dan Mitsubishi Triton. Pada tahun 2010, Nissan dan Mitsubishi telah menyertai kerjasama yang sepatutnya menyaksikan kemunculan model baharu yang yang dibangunkan bersama, tetapi usaha sama tersebut gagal dan kedua-duanya membangunkan NP300 Navara dan Triton secara berasingan.