Triton-Knight-Edition-04_BM

Seperti yang dilaporkan semalam, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi mengumumkan edisi terhad Triton. Diberi nama Mitsubishi Trition Knight Edition, model edisi terhad tersebut kini menyambung legasi dari Triton Phantom Edition. Jika Phantom dengan tema warna hitam dikeluarkan hanya 200 unit, edisi Knight dengan tema warna putih kali ini lebih eksklusif kerana dihasilkan terhad hanya 120 unit.

Seperti juga Phantom, Triton Knight Edition diasaskan dari varian tertinggi Triton VGT Adventure yang dijana oleh enjin turbo diesel VGT (178 PS/400 Nm) dan dilengkapi dengan lebih ciri tambahan. Trak pikap edisi terhad ini hanya ditawarkan dengan warna Putih Mutiara dan dipadankan dengan roda aloi matte black 17-inci serta gril dan bampar belakang matte black.

Triton-Knight-Edition-02_BM

Turut dipadankan pada Knight Edition ini ialah pemanjang bampar hadapan, bar sport dengan penutup dan juga pelekat badan. Perkataan ‘KNIGHT’ turut ditampal pada bahagian atas gril hadapan dan juga di pintu tailgate belakang. Kesemua tempat duduk dibalut dengan kulit berwarna hitam manakala perkataan ‘Knight’ turut disulam pada tempat duduk hadapan.

Semua ciri pada Triton VGT Adventure kekal pada edisi terhad ini yang terdiri daripada lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, stereng teleskopik boleh laras, mod manual dengan penukar gear pada stereng, unit pemain audio utama 2-DIN berserta kamera undur, lampu dan penggilap cermin automatik serta penghawa dingin automatik dua zon.

Mitsubishi Triton Knight Edition dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM122,487. MMM turut menawarkan servis berkala percuma sepenuhnya selama dua tahun dengan rebat tunai RM2,000 atau kos upah servis percuma dengan rebat tunai RM4,000. Setiap pembelian trak pikap ini juga turut disertakan dengan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure