honda-civic-stolen

Satu sindiket terancang yang mensasarkan kenderaan tertentu seperti Toyota Alphard, Toyota Camry, Honda Civic dan Honda City, mampu untuk menggodam sistem immobiliser kenderaan terbabit dengan mengesetnya semula agar ia lumpuh dalam masa kurang dua minit, lapor Harian Metro.

Menurut pengarah bahagian kejuruteraan automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Mohamed Dalib, kenderaan yang dilengkapi dengan sistem immobiliser akan mematikan enjin kereta apabila ia mengesan kuncinya tiada pada jarak tertentu.

Dengan ini, sindiket tersebut menggunakan beberapa teknik termasuk menggunakan alat penyesak untuk mematikan sistem immobiliser sebelum menyembunyikan kenderaan yang dicuri pada lokasi tertentu. Untuk immobiliser yang dilengkapi sistem pemantauan satelit pula, Dalib berkata, “pencuri akan menggodam alat tersebut dalam masa lima ke sepuluh minit untuk membuang baterinya bagi mengelakkan ia dikesan.”

Menurut Dalib lagi, kenderaan yang dicuri dalam negara akan diseludup ke negara-negara Afrika seperti Kenya dan Uganda.