Bad-road-2

Kerajaan Johor kini menetapkan lubang pada jalan raya perlu diperbaiki dalam masa 24 jam di negeri tersebut. Syarikat konsesi di negeri itu juga perlu menyediakan talian pusat khas untuk menangani aduan orang ramai menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad, lapor The Star.

Sejumlah RM390 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelenggara jalan raya dengan jarak keseluruhan 1,942 km dalam negeri tersebut untuk tiga tahun akan datang. “Kesemua syarikat konsesi ini perlu memperbaiki jalan yang berlubang dalam masa 24 jam,” kata Hasni, kemudian mencadangkan kesemua syarikat konsesi menubuhkan pasukan bergerak sendiri untuk memantau jalan raya dalam kawasan mereka.

“Memperbaiki jalan berlubang merupakan tugas yang penting. Setakat ini, salah sebuah syarikat konsesi yang dilantik telah pun mewujudkan talian pusat mereka dan yang lain sedang dalam usaha melakukan perkara yang sama. Selain memperbaiki lubang, mereka turut bertanggungjawab dalam tugas lain termasuk memastikan papan tanda kekal bersih, memperbaiki jalan yang tidak rata dan memotong rumput,” jelas Hasni lagi.

Beliau juga turut menjelaskan kawasan sekitar kuari perlu dipantau secara lebih dekat, terutamanya jalan yang biasa dilalui oleh kenderaan berat. “Jalan di sekitar Pasir Gudang dan kawasan bandar di mana banyak dilalui oleh kenderaan berat perlu di pantau,” tambah Hasni.

Hasni turut memberitahu jawatankuasa kerja raya negeri akan memantau kesemua kerja-kerja pembaikkan yang dilakukan oleh syarikat konsesi. Kempen “lubang jalan raya sifar” telah dilancarkan minggu lalu oleh Menteri Besar Johor Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan jalan raya dalam negeri tersebut di selenggara dengan betul. DBKL turut mensasarkan perkara yang sama untuk jalan raya sekitar Kuala Lumpur menjelang tahun 2017.