2016 Proton Perdana 1

Proton telah pun menerima fasa pertama pinjaman mudah bernilai RM300 juta daripada nilai keseluruhan RM1.5 bilion dari kerajaan, ujar Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah. Di mana baki pinjaman tersebut akan diberikan secara berperingkat atas permintaan Proton sendiri, laporan Bernama.

“Pertama, mereka (Proton) perlu melunaskan semua pembayaran kepada pelbagai pihak termasuk vendor. Kita bertindak berdasarkan perkembangan yang berlaku, penilaian dan penyerahan (pinjaman mudah) itu,” ujar Mohd Irwan.

Pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang telah diluluskan pada April lalu dengan matlamat untuk membantu Proton muncul sebagai entiti baharu dengan tenaga yang lebih besar, menurut Mohd Irwan.

Tegasnya lagi, kerajaan menyokong syarikat kereta nasional berkenaan secara teguh namun pinjaman itu juga didatangkan dengan beberapa syarat tertentu yang harus dipenuhi oleh Proton.

“Kami telah pun meletakkan garis panduan untuk mereka terlebih dahulu bagi mencari rakan strategik dan mesti membuat pelan perubahan, mesti membayar semua vendor dan banyak lagi,” ujarnya, sambil menambah Proton sedang membuat perbincangan dengan beberapa rakan potensi, tetapi beliau enggan mendedahkan sebarang nama.

Mohd irwan juga menambah, Proton seharusnya menggunakan 70% penguasaan daripada pasaran kenderaan tempatan, namun ia menurun kepada 18% pada masa kini. “Perkongsian terhadap pasaran tempatan oleh Proton telah menurun secara drastik. Namun dengan strategi baharu ini, kami berharap Proton mampu menguasai semula pasaran,” ujarnya.